SEREMBAN, 27 Mei (Bernama) -- Kumpulan MTD (MTD Capital Bhd) bersama anak syarikat hartanahnya, MTD Properties, menyumbangkan dua ekor lembu kepada Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, bersempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Reime Rizal Abdul Aziz berkata pemilihan Negeri Sembilan bagi program sumbangan Aidiladha kali ini menjadi simbolik kepada permulaan pembangunan projek hartanah MTD Properties di kawasan Ampangan dalam masa terdekat.
“Sumbangan sempena Aidiladha merupakan acara tahunan Kumpulan MTD. Sebelum ini, MTD Properties turut mengadakan sumbangan di setiap pembangunan kami seperti di Ayer Keroh, Melaka dan Taman Sutera, Kajang, Selangor. Tahun ini merupakan kali pertama Negeri Sembilan dipilih sebagai simbol kepada ketibaan pembangunan MTD Properties di negeri ini.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kami menyumbangkan dua ekor lembu untuk dikongsi bersama komuniti di kariah Sikamat. Semoga sumbangan ini membawa keberkatan dan memberi manfaat kepada semua penerima, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Majlis penyerahan replika cek tersebut disampaikan kepada Pengerusi Masjid, Ustaz Muhammad Ainur Robanni Nasoha.
Reime Rizal berkata inisiatif itu juga menandakan permulaan usaha jangka panjang penglibatan komuniti oleh MTD Properties menerusi pembangunan industri dan komersial di tanah seluas 23.06 hektar.
Pembangunan dikenali sebagai ‘MTD Ampangan Industrial Hub’ itu dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM410 juta dan dibangunkan menerusi empat fasa pembangunan.
“Pembangunan ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di kawasan Ampangan yang terletak dalam zon pertumbuhan ekonomi utama,” katanya
Beliau berkata MTD Ampangan Industrial Hub dibangunkan sejajar dengan aspirasi koridor Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial