KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Di sebalik kemeriahan dan lautan pencinta buku dari seluruh negara di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, kelibat sekumpulan anak muda berseragam coklat yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan mencuri tumpuan.
Dikenali sebagai Duta Buku, kumpulan sukarelawan itu bukan sahaja berperanan sebagai barisan hadapan pesta buku terbesar negara itu, malah menjadi pemudah cara utama dalam membantu pengunjung menelusuri ruang pameran yang luas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagi pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Siti Nur Aishah Mohd Zani, 24, tanggungjawab sebagai ketua aras sepanjang pesta buku itu memberi peluang berharga untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi yang diperoleh di bilik kuliah.
"Di sini kami belajar cara menguruskan pasukan, berinteraksi dengan pelbagai ragam manusia dan menyelesaikan masalah pengunjung. Semua ini menyumbang kepada peningkatan kemahiran sosial serta keyakinan diri.
"Walaupun tiada ganjaran material, kepuasan sebenar adalah apabila tugasan kami dihargai. Ucapan terima kasih daripada pengunjung adalah memori paling manis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, bakal guru Bahasa Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG), Sofea Dayana Dusuki, 22, berkata penglibatannya selama tiga tahun berturut-turut dalam pasukan itu menjadi medan terbaik untuk dirinya membentuk disiplin, rasa tanggungjawab dan kemahiran berkomunikasi dengan orang ramai.
Anak jati Kelantan itu yang mula menyertai program berkenaan sejak 2024 berkata cabaran utama ketika awal penyertaannya ialah menguasai susun atur reruai dalam lokasi pameran yang luas bagi memastikan setiap pertanyaan pengunjung dapat dijawab dengan tepat dan mereka tidak sesat.
"Pada mulanya agak sukar kerana saya perlu menerangkan laluan dengan cara mudah difahami pengunjung, terutama mereka yang pertama kali datang ke PBAKL.
“Namun, selepas beberapa kali terlibat, saya semakin mengenali setiap sudut lokasi pameran dan lebih yakin berhadapan dengan orang ramai," katanya.
Bagi pelajar undang-undang UiTM Shah Alam, Mohamed Yasser Asyraf Abdul Rahman, 22, minat mendalam terhadap dunia buku dan sastera menjadi faktor utama yang mendorong beliau terus setia menyumbang khidmat sebagai Duta Buku untuk empat tahun berturut-turut.
Beliau berkata pengalaman yang dikumpul sepanjang tempoh itu bukan sahaja membantunya melatih sukarelawan baharu, malah mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis ketika berhadapan dengan pelbagai situasi di lapangan dan pertanyaan pengunjung.
"Ada kalanya pengunjung datang hanya menunjukkan gambar buku atau memberikan petunjuk yang sangat umum. Di sinilah kami perlu kreatif mencari jalan penyelesaian agar mereka memperoleh maklumat yang tepat dan dapat menemui buku dicari,” katanya.
Bagi sukarelawan kali pertama, Nurdamia Husna Ruzaimi, 20, penyertaan dalam PBAKL tahun ini membuka peluang untuk dirinya menimba pengalaman baru sementara menunggu tawaran melanjutkan pengajian.
Beliau berkata keputusan menyertai program itu dibuat selepas melihat hebahan di media sosial dan menganggapnya sebagai peluang terbaik untuk mencabar diri keluar daripada zon selesa selain menimba pengalaman dalam bidang kesukarelawanan.
“Setakat ini pengalaman yang saya lalui sangat menyeronokkan. Saya bukan sahaja dapat mengenali ramai rakan baharu, malah belajar cara berurusan dengan orang awam secara profesional,” katanya yang berharap dapat menyertai program itu lagi pada masa hadapan.
Sepanjang 10 hari penganjuran PBAKL 2026, seramai 54 Duta Buku ditugaskan mengikut syif bagi memastikan kelancaran operasi pesta buku terbesar negara itu.
Lebih daripada sekadar membantu urusan logistik dan penyampaian maklumat kepada pengunjung, kehadiran mereka juga menjadi bukti bahawa semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda terus subur, relevan dan dinamik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial