WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Dunia FIFA 2026 Perkenal Rombakan Besar Peraturan Perlawanan

12/06/2026 12:37 AM

ANKARA, 11 Jun (Bernama-Anadolu) -- Piala Dunia FIFA 2026 akan memperkenalkan beberapa perubahan besar peraturan yang bertujuan mengurangkan tindakan melengah-lengahkan permainan, memperbaiki disiplin pemain, meningkatkan tempo perlawanan serta memperluas kuasa Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), lapor Anadolu Ajansi.

Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico itu akan menjadi pertandingan antarabangsa utama pertama yang melaksanakan pindaan yang diluluskan oleh badan penggubal undang-undang bola sepak, Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Semua langkah itu adalah sebahagian daripada pakej 11 pindaan khusus kejohanan yang diluluskan untuk Piala Dunia, sekali gus menjadi antara rombakan undang-undang paling ekstensif pernah diperkenalkan untuk pertandingan bola sepak antarabangsa yang besar. 

 

Mempercepat Permainan

 

Antara perubahan paling ketara ialah langkah baharu bagi mempercepatkan permainan disambung semula dan menghalang kelewatan yang disengajakan.

Pengadil boleh memulakan kiraan detik lima saat yang jelas kelihatan sekiranya mereka percaya sepakan gol atau lontaran ke dalam sengaja dilengahkan. Jika sesebuah pasukan gagal menyambung permainan sebelum tempoh itu tamat, sepakan gol boleh ditukar menjadi sepakan penjuru kepada pihak lawan, manakala lontaran ke dalam yang dilewatkan boleh diberikan kepada pasukan lawan.

Pertukaran pemain juga tertakluk kepada peraturan masa yang lebih ketat. Pemain yang digantikan mesti meninggalkan padang dalam tempoh 10 saat. Jika gagal berbuat demikian, pemain gantian tidak akan dibenarkan memasuki padang sehingga permainan dihentikan semula selepas sekurang-kurangnya satu minit permainan berlangsung, sekali gus boleh menyebabkan pasukan bermain dengan 10 pemain buat sementara waktu.

Peraturan baharu turut melibatkan pemain yang cedera.

Mana-mana pemain yang menerima pemeriksaan perubatan di atas padang atau kecederaannya menyebabkan permainan dihentikan perlu berada di luar padang selama satu minit selepas permainan disambung semula. Pengecualian diberikan kepada penjaga gol, kecederaan kepala yang serius, pelanggaran sesama rakan sepasukan dan situasi yang melibatkan sepakan penalti.

 

Meningkatkan Disiplin Pemain

 

FIFA turut memperkenalkan langkah untuk meningkatkan disiplin pemain dan melindungi pegawai perlawanan.

Pengadil diberi kuasa untuk melayangkan kad merah kepada pemain yang menutup mulut ketika berkonfrontasi dengan pihak lawan, satu langkah yang bertujuan menghalang penggunaan bahasa kesat atau diskriminasi yang sukar dikesan oleh pegawai perlawanan.

Pemain yang meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil juga boleh dibuang padang, manakala pegawai pasukan yang menggalakkan atau menghasut tindakan sedemikian turut boleh dikenakan tindakan sama.

 

Peranan VAR Diperluas

 

Sistem VAR akan mempunyai bidang kuasa yang lebih luas sepanjang kejohanan, dengan pegawai VAR dibenarkan campur tangan dalam beberapa situasi baharu.

Semakan video kini dibenarkan apabila seseorang pemain menerima kad merah akibat kad kuning kedua yang jelas tersilap diberikan. VAR juga boleh campur tangan dalam kes salah pengecaman identiti apabila pemain yang salah diberikan kad amaran atau dibuang padang.

Selain itu, pegawai boleh menyemak keputusan sepakan penjuru yang jelas salah sekiranya semakan dapat dilakukan serta-merta tanpa melengahkan permainan.

VAR juga boleh menilai kesalahan pasukan menyerang yang berlaku sebelum bola dimainkan semasa sepakan penjuru atau sepakan percuma, jika insiden itu memberi kesan langsung kepada gol, keputusan penalti atau tindakan tatatertib.

 

Piala Dunia Terbesar Dalam Sejarah

 

Perubahan peraturan itu diperkenalkan seiring dengan penganjuran Piala Dunia terbesar dalam sejarah.

Edisi 2026 akan menampilkan 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini, serta memperkenalkan pusingan 32 terbaik selepas peringkat kumpulan. Kejohanan akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di 16 bandar tuan rumah di AS, Kanada dan Mexico.

Di bawah format baharu, 48 negara peserta akan dibahagikan kepada 12 kumpulan yang masing-masing mengandungi empat pasukan. Dua pasukan teratas setiap kumpulan serta lapan pasukan tempat ketiga terbaik akan mara ke peringkat kalah mati.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan