WILAYAH - TENGAH > BERITA

'Alhamdulilah, Terima Kasih Rakyat Malaysia Yang Doakan Jaslinda" - Kakak

06/06/2026 11:15 PM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- "Alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan Jaslinda.”

Demikian reaksi kakak kepada pendaki yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, iaitu Jasima Saludin, 52, selepas adiknya ditemukan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, dekat Tapah, petang tadi.

Jasima ketika dihubungi Bernama berkata beliau bersama suaminya kini dalam perjalanan ke Tapah bagi bertemu adiknya yang ditemukan selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman.

“Saya pulang ke rumah di Kuala Lumpur semalam seketika untuk menguruskan hal keluarga. Tadi saya menerima panggilan daripada rakan-rakan dan mengetahui berita penemuan Jaslinda menerusi media sosial.

“Selepas mendapat berita itu, saya terus bergerak ke Tapah,” katanya.

Beliau berkata perkara pertama yang ingin dilakukannya apabila bertemu Jaslinda adalah memastikan keadaan kesihatan adiknya berada dalam keadaan baik serta memberi ruang untuknya berehat dan bertenang.

“Saya mahu melihat keadaannya terlebih dahulu, sama ada dia sihat atau sebaliknya. Berdasarkan video yang saya lihat tadi, nampaknya dia berada dalam keadaan baik, alhamdulillah.

“Buat masa ini, saya tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Biarlah dia berehat dan menenangkan diri terlebih dahulu.

“Apabila keadaan sudah sesuai, barulah kami akan bertanya mengenai apa yang berlaku sepanjang kehilangannya. Alhamdulillah, terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakannya serta pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan semua pihak yang membantu,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon memaklumkan Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, kira-kira 3 petang.

Ketika ini, proses membawa keluar mangsa sedang dijalankan sebelum dibawa ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki. Bagaimanapun, eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan