DUNGUN, 8 Jun (Bernama) -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyelamatkan seorang lelaki yang cedera pada kaki ketika mendaki Gunung Chemerong dekat Hutan Simpan Pasir Raja di sini hari ini.
Timbalan Pengarah JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 1.21 tengah hari semalam dan operasi melibatkan enam anggota.
“Peserta lelaki berusia 48 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tidak dapat berjalan akibat kepenatan sehingga perlu meminta bantuan bomba untuk dibawa keluar dari gunung berkenaan.
“Ketika laporan diterima peserta itu berada di kawasan Air Terjun Sungai Bangan di Gunung Chemerong dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrin Yusmar berkata jarak ke lokasi dari kaki gunung itu sejauh tujuh kilometer dan mengambil masa enam jam untuk sampai selain pasukan penyelamat turut mengalami kesukaran ekoran cuaca hujan dan keadaan geografi yang berliku serta curam.
Beliau berkata mangsa selamat dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) di kaki Gunung Chemerong pada 11.55 pagi tadi dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata aktiviti pendakian itu disertai 27 peserta termasuk lapan wanita daripada kelab guru dan staf sebuah sekolah menengah di Selangor serta empat malim gunung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial