WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAWANA: Pendika Cadang Beberapa Inisiatif Perkasa Kebajikan Veteran Media

10/06/2026 10:18 AM

MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Pengamal Media Melaka (Pendika) mencadangkan beberapa inisiatif utama untuk dipertimbangkan kerajaan bagi memperkasa kebajikan serta menjamin masa depan veteran media negara.

Pengerusinya Amir Mamat berkata antara cadangan utama ialah mewujudkan bayaran atau pencen khas kepada veteran media sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkecimpung dalam industri media dan kewartawanan.

Beliau berkata Pendika turut mencadangkan penubuhan sebuah organisasi atau pertubuhan khusus bagi memastikan kebajikan, peranan serta kebersamaan golongan veteran media terus dipelihara dan tidak terabai selepas persaraan.

"Pendika juga berpandangan veteran media wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya, termasuk penganugerahan darjah kebesaran oleh Yang di-Pertuan Agong setiap tahun kepada individu yang banyak berjasa dalam dunia kewartawanan dan media," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amir berkata pengalaman dan kepakaran yang dimiliki veteran media juga perlu terus dimanfaatkan dengan melibatkan mereka sebagai tenaga pengajar, mentor atau penceramah di universiti, institusi pendidikan serta platform yang membabitkan pelajar komunikasi, kewartawanan dan pengamal media baharu.

Beliau berkata langkah itu mampu memastikan pengalaman serta ilmu yang dimiliki golongan berkenaan terus diwariskan kepada generasi baharu.

"Pada masa sama, ia dapat membantu melahirkan pengamal media yang lebih beretika, berintegriti serta memahami cabaran sebenar dunia kewartawanan masa kini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) mengemukakan usul khusus bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media, termasuk mewujudkan mekanisme yang lebih tersusun untuk membantu golongan veteran dalam industri berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sebelum sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bagi membolehkan satu rangka kerja yang lebih sistematik diwujudkan demi menjaga kebajikan bekas pekerja sektor media.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan kemuncak sambutan HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menjadi platform kemuncak bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan