WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pekerja Bakeri Di Sabah Penerima Awal Faedah Lindung 24 Jam PERKESO

10/06/2026 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Seorang pekerja bakeri dari Sabah yang cedera selepas terjatuh dari tangga di kediamannya menjadi antara penerima terawal faedah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan Arnold Nathanael Lister, 24, yang bekerja di sebuah bakeri di Kota Kinabalu, layak menerima perlindungan di bawah skim itu kerana merupakan pencarum aktif walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.

Menurut PERKESO, bantuan yang diluluskan merangkumi pembiayaan penuh rawatan dan prosedur implan tulang belakang selain Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh mangsa tidak dapat bekerja atas pengesyoran doktor.

“Mangsa yang berasal dari Penampang, Sabah ini turut menerima pembekalan peralatan pemulihan termasuk kerusi roda khas dan alat pengurusan beg saliran air kencing, disusuli kemudahan rawatan fisioterapi percuma di bawah program Return To Work (RTW) PERKESO mengikut tahap kesediaannya kelak,” menurut kenyataan PERKESO.

Pertubuhan itu turut menyatakan bahawa kes berkenaan membuktikan peranan LINDUNG 24 Jam dalam menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar skop pekerjaan.

PERKESO turut memaklumkan, sebelum ini pekerja yang ditimpa kemalangan domestik sering berdepan dengan kesukaran mendapatkan perlindungan kewangan, namun skim baharu itu membantu menampung kos rawatan serta menjamin kelangsungan hidup pencarum.

Pada 6 Jun lepas, Arnold yang tinggal di Kampung Kaambazan Kolopis, Penampang dilaporkan tergelincir dan terjatuh ketika menggunakan tangga untuk ke bilik mandi kerana kediamannya sedang diubah suai.

Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan serius termasuk patah dan himpitan pada tulang belakang serta kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Sehubungan dengan itu, PERKESO mengingatkan majikan dan pekerja supaya memastikan caruman dipatuhi bagi membolehkan perlindungan 24 jam di bawah skim berkenaan dinikmati sekiranya berlaku kemalangan luar jangka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan