WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Industri Automotif Malaysia Perlu Mengukuh Dalam Rantaian Nilai, Pacu Mobiliti Masa Depan

11/06/2026 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Industri automotif tempatan Malaysia perlu terus mengukuh dalam rantaian nilai, bukan sekadar sebagai pemasang atau pengedar malah juga sebagai pembangun teknologi, perkhidmatan dan penyelesaian untuk pasaran serantau memandangkan landskap mobiliti terus berevolusi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata visi Kementerian Pengangkutan (MOT) melangkaui kenderaan, dengan tumpuan serius kepada pembangunan sistem pengangkutan yang bersepadu, cekap, selamat dan mampan dari segi alam sekitar.

“Ketika kita membincangkan masa depan mobiliti, aspek keselamatan mesti kekal sebagai teras agenda kita. Mobiliti baharu bukan sahaja perlu lebih bersih dan terhubung malah juga perlu membantu mengurangkan kemalangan, melindungi pengguna jalan raya yang rentan serta memupuk tingkah laku yang lebih selamat di jalan raya.

“Ciri-ciri seperti sistem bantuan pemandu termaju, kesalinghubungan kenderaan, penguatkuasaan dipacu data dan reka bentuk kenderaan lebih selamat perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan mobiliti arus perdana,” katanya ketika merasmikan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 di sini, hari ini.

Hasbi berkata KLIMS 2026 telah berkembang daripada sebuah pameran automotif konvensional kepada platform yang menghimpunkan peserta industri utama, inovator, pembuat dasar dan pengguna untuk mengetengahkan idea yang memacu kemajuan.

Beliau berkata masa depan mobiliti tidak boleh dicapai oleh mana-mana sektor tunggal, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, peserta industri, penyedia teknologi, institusi akademik dan pengguna.

“Inilah sebabnya KLIMS lebih daripada sekadar pameran. Kita, bersama-sama peserta industri dan pihak berkepentingan, boleh menerajui pelaburan yang berani, menerima guna teknologi baharu dan mempercepat peralihan Malaysia kepada penyelesaian mobiliti yang lebih bersih, selamat dan pintar,” katanya.

Beliau berkata MOT sedang bekerjasama rapat dengan peserta industri untuk mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV) menerusi insentif, pengecualian duti dan pembangunan rangkaian infrastruktur pengecasan di seluruh negara.

“Usaha kami juga meliputi sektor logistik, dengan kumpulan pengangkutan yang lebih lestari dan rantaian bekalan lebih pintar dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon daripada pengangkutan barangan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia berkedudukan baik untuk menjadi hab mobiliti generasi baharu serantau.

Usaha itu disokong oleh ekosistem automotif yang kukuh, kumpulan bakat mahir yang semakin berkembang, kesalinghubungan strategik dalam ASEAN serta hala tuju dasar yang jelas bagi menyokong penyelesaian mobiliti mampan, dipacu teknologi dan bernilai tinggi, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata pihaknya kekal komited untuk menyokong industri automotif dan anggotannya dalam menghadapi perubahan teknologi serta perkembangan dasar yang sentiasa berubah.

“Fokus kami kekal jelas iaitu memperkukuh kesediaan industri, merangsang inovasi, meningkatkan usaha penyetempatan, membangunkan keupayaan automotif tempatan serta melonjakkan daya saing ekosistem automotif Malaysia bagi jangka masa panjang, di samping menyumbang kepada landskap mobiliti yang mampan dan sedia hadapan,” katanya.

Mengenai KLIMS 2026, Mohd Shamsor berkata acara itu mencerminkan transformasi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada ekosistem penyelesaian mobiliti pintar yang lebih luas.

“Perubahan inilah yang menjadikan pameran mobiliti seperti KLIMS lebih relevan berbanding sebelum ini. KLIMS menyediakan platform untuk pemimpin industri, pembuat dasar, inovator dan pengguna berkumpul bagi meneroka teknologi serta idea yang akan menentukan generasi mobiliti seterusnya,” katanya.

KLIMS 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 21 Jun, 2026 dianjurkan MAA, diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan sokongan strategik daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan