WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam

11/06/2026 11:36 AM

MELAKA, 11 Jun (Bernama) -- Seorang penganggur dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan membunuh kenalannya di sebuah rumah kedai pada Mac lepas, yang mayatnya ditemukan dua bulan kemudian.

Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia dituduh membunuh Mohd Idris Yasmir, 40, di Taman Seri Pandan 1, Jalan Pokok Mangga di sini, antara 10 malam pada 30 Mac hingga 3 pagi, 31 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani ,manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh, yang ditemukan dalam gulungan tilam dengan tangan terikat di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga pada 7 malam 28 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan