KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia dijangka memeterai perjanjian kerjasama hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan pada 19 Jun ini dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan tenaga negara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata kerajaan sedang giat memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala, termasuk perkembangan positif melibatkan perjanjian jangka panjang pembekalan gas asli cecair (LNG) antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat utiliti Jepun, Jera Co Inc, yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Ini juga termasuk kerjasama melalui Asia Zero Emission Community (AZEC), POWERR Asia, kerjasama tenaga dengan Australia, serta kerjasama hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka akan ditandatangani pada 19 Jun, 2026,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian hari ini.
Akmal Nasrullah berkata krisis bekalan global telah menguji daya tahan ekonomi negara, namun pada masa yang sama membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh ketahanan jangka panjang.
Dengan asas ekonomi yang kukuh, kedudukan tenaga yang strategik dan pengurusan ekonomi yang berpandukan data, Malaysia bukan sahaja mampu mengurus ketidaktentuan global, malah berada pada landasan untuk terus bergerak ke hadapan dengan lebih yakin, katanya.
Sementara itu, beliau berkata harga purata LNG meningkat secara sederhana iaitu 4.6 peratus kepada US$18.87 bagi setiap juta Btu (MMBtu) bagi tempoh 2 hingga 6 Jun 2026 berbanding US$18.04 bagi setiap MMBtu sebelum ini.
Pergerakan harga itu, katanya masih dalam julat terkawal, dan menunjukkan pasaran LNG global kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Bagaimanapun, harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan metrik bagi tempoh 1 hingga 3 Jun 2026.
“Peningkatan harga arang batu global adalah disebabkan persaingan dan lonjakan permintaan akibat peralihan penggunaan daripada gas kepada arang batu oleh penyedia utiliti antarabangsa bagi membendung kos penjanaan elektrik serta harga premium arang batu yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi harga minyak mentah Brent (Spot) pula, purata harga bagi tempoh 1 hingga 5 Jun 2026 menurun 0.9 peratus kepada US$99.29 setong, berbanding US$100.16 setong pada minggu sebelumnya.
Menurut Akmal Nasrullah, penurunan itu didorong oleh sentimen pasaran yang lebih positif, termasuk jangkaan peningkatan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) serta usaha kerajaan mencari sumber bekalan alternatif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial