WILAYAH - TENGAH > BERITA

1.88 Juta Rakyat Terima Manfaat mySalam Berjumlah RM1.423 Bilion Sejak 2019 - Fahmi

12/06/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Skim perlindungan kesihatan sosial, mySalam, yang dikelola Kementerian Kewangan telah memanfaatkan sebanyak 1.88 juta rakyat Malaysia dengan jumlah tuntutan dibayar mencecah RM1.423 bilion hingga 31 Dis 2025.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata program yang bermula pada 2019 dengan dana RM2.37 bilion itu kini menyediakan perlindungan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan yang layak hingga usia 65 tahun.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata penerima yang layak boleh mendapat tiga bentuk manfaat utama iaitu elaun hospitalisasi sebanyak RM50 sehari untuk maksimum 14 hari atau RM700 setahun, bantuan sekali bayar sehingga RM8,000 bagi 50 penyakit kritikal serta tuntutan kos peranti perubatan sehingga maksimum RM30,000.

“Bagi manfaat hospitalisasi, sebanyak 1.294 juta penerima telah menerima manfaat dan jumlah yang telah disampaikan kepada mereka berjumlah RM394.87 juta,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Bagi kategori penyakit kritikal pula, katanya skim itu memberi manfaat kepada 89,085 penerima dengan jumlah bayaran RM712.68 juta, manakala bagi peranti perubatan melibatkan 13,128 penerima dengan peruntukan sebanyak RM65.257 juta.

Beliau berkata prestasi skim berkenaan telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut membincangkan permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor restoran dan pembinaan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kerja Raya untuk mendapatkan perincian penuh daripada industri masing-masing sebelum diteliti dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan