WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Al-Sultan Abdullah Zahir Ucapan Tahniah Anak Pahang Terima Pengiktirafan Di Vienna

12/06/2026 10:20 PM

KUANTAN, 12 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada anak jati Pahang Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer,  atas kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah global berprestij, World Summit Awards di Vienna, Austria.

Turut menzahirkan ucapan sama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan tersebut, yang dilihat sebagai manifestasi keupayaan generasi muda Pahang dalam meneroka bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan digital.

“Semoga pencapaian dan kejayaan Nadzrul Hanif akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Pahang untuk berani mencipta peluang, meneroka bidang teknologi dan inovasi serta terus berusaha mencapai kecemerlangan demi kemajuan negeri dan negara,” titah baginda berdua menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang. 

Nadzrul Hanif, 36, yang merupakan pengasas syarikat pemula teknologi Semart, menerima pengiktirafan berkenaan hasil pembangunan aplikasi yang membantu usahawan mikro mengurus kewangan serta merekod jualan secara digital dengan lebih cekap dan sistematik.

Kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja kepada Pahang, malah kepada seluruh negara apabila anak tempatan berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi dan keusahawanan digital.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan