WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Agroekonomi Zakat Selangor Buka Peluang Asnaf Jana Pendapatan

01/07/2026 02:52 PM

BUKIT BERUNTUNG, 1 Julai (Bernama) -- Usaha membantu golongan asnaf kini tidak lagi tertumpu kepada bantuan kewangan semata-mata apabila Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memperkenalkan Projek Agroekonomi yang membuka ruang kepada mereka membina sumber pendapatan menerusi sektor pertanian.

Projek bernilai RM26 juta itu dibangunkan di kawasan seluas 110 ekar di Laman Agro Ehsan, Bukit Beruntung, dengan 76 ekar diperuntukkan bagi pembangunan kawasan agro termasuk tanaman cili fertigasi.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan projek berkenaan yang melibatkan penyertaan 48 peserta asnaf terpilih.

Turut hadir Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalulail, Ahli Jawatankuasa Penasihat Laman Agro Zakat Selangor Datuk Adnan Pawanteh, Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam sembah ucapan, Adnan berkata projek itu mencerminkan pendekatan Zakat Selangor dalam menyediakan peluang ekonomi kepada golongan asnaf melalui latihan, bimbingan serta sokongan pengurusan pertanian.

Beliau berkata para peserta yang dipilih bakal mengikuti program pembangunan selama tiga tahun merangkumi latihan teknikal, pemantauan tanaman dan bimbingan bagi membantu mereka menguruskan projek secara lebih tersusun.

"Setiap peserta akan mengusahakan satu plot tanaman berkeluasan 0.5 ekar yang menempatkan 2,000 beg tanaman cili, menjadikan keseluruhan 96,000 beg tanaman bagi 48 plot setiap musim penanaman," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu berpotensi membantu peserta memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan apabila pengurusan tanaman mencapai tahap stabil.

Pemilihan peserta dibuat melalui proses saringan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) bagi mengenal pasti calon yang sesuai menyertai program berkenaan.

Selain kemudahan pertanian, peserta turut ditempatkan di kawasan perumahan Prima Beruntung dengan kos sewaan ditanggung sepenuhnya oleh Zakat Selangor sepanjang tempoh program.

Adnan berkata projek agroekonomi itu turut direalisasikan menerusi kerjasama rakan strategik melalui dana wakalah berjumlah RM2.07 juta daripada Lembaga Tabung Haji, RHB Islamic Bank Berhad dan Cagamas Berhad.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan lafaz titah perasmian, menandatangani plak projek, melawat kawasan tanaman serta menyantuni peserta program.

Peserta program Norfhadilah Mohd Shafiin, 45, berkata penyertaannya sejak 2025 memberi peluang baharu untuk meningkatkan ekonomi keluarganya.

"Program ini bukan sahaja membantu dari segi peluang, tetapi memberi kami ilmu dan pengalaman untuk menguruskan tanaman sendiri serta membina keyakinan untuk berdikari," kata ibu kepada lima orang anak itu.

Bagi Raimi Rusydi Rodi, bapa kepada dua orang anak, penyertaan dalam projek itu memberi pengalaman baharu dalam bidang pertanian.

"Terima kasih kepada pembayar zakat kerana memberi saya peluang berada di sini. Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang mengikuti program ini, termasuk cara mengurus tanaman dan bekerjasama dengan peserta lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan