BATU PAHAT, 1 Julai (Bernama) -- Kehadiran Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertujuan menawarkan agenda pembangunan yang lebih mampan dan bukannya untuk mengganggu keharmonian sedia ada di negeri itu.
Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar untuk digilap, namun kaedah pentadbirannya perlu ditambah baik supaya tidak hanya tertumpu kepada daerah tertentu sahaja.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata corak pembangunan di Johor ketika ini dilihat tidak sekata, memandangkan tumpuan ekonomi lebih menjurus ke daerah Johor Bahru, sekali gus mewujudkan jurang dengan daerah lain.
“Johor ini ada di bahagian lainnya di utara, timur dan barat, (jurang) pendapatan penduduk contohnya agak ketara antara Johor Bahru dan Segamat, sebab itulah kita datang untuk membawa perubahan dan seterusnya mentadbir Johor dengan baik,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ke Depan Undi Harapan, di Pekan Senggarang di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata Johor mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi tahun lepas iaitu RM101 bilion, namun kadar penciptaan peluang pekerjaan baharu dilihat masih rendah berbanding Selangor.
“Pelaburan tahun lepas di Selangor RM83 bilion tetapi kita cipta 60,000 peluang pekerjaan baru, (manakala) di Johor lebih rendah, mungkin tidak sampai 30,000 atau 40,000 atau kurang,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Amirudin berkata sekiranya PH diberi mandat untuk mentadbir, gabungan itu akan memastikan pelaburan berimpak tinggi diselaraskan dengan sokongan kerajaan Persekutuan, melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Ini penting bagi mencipta peluang pekerjaan bergaji tinggi, supaya anak muda kita tidak lagi perlu berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan PH kelak, akan mengamalkan strategi kepimpinan terbuka, bagi memastikan Johor muncul sebagai permata selatan yang menjadi kebanggaan Malaysia dan rakyatnya.
Sebanyak 172 calon bertanding pada PRN Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial