WILAYAH - SARAWAK > BERITA

23 Pendaki Bernama Berjaya Tawan Puncak Kinabalu Sempena HAWANA 2026

01/07/2026 05:44 PM

RANAU, 1 Julai (Bernama) -- Seramai 23 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu hari ini dalam ekspedisi sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Ekspedisi diketuai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj itu disertai petugas daripada pelbagai bahagian, termasuk wartawan, jurugambar, penyunting, kru Bernama TV serta kakitangan bahagian pentadbiran. 

Kesemua peserta berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu pada kira-kira 7.20 pagi tadi selepas menempuh pendakian yang mencabar dalam keadaan cuaca tidak menentu, termasuk hujan, kabus tebal dan angin kencang.

Kejayaan itu turut menjadi pencapaian peribadi buat Arul Rajoo yang mencipta sejarah sebagai Ketua Pengarang Bernama pertama berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.

Pendakian bermula dari Pondok Timpohon pada 10 pagi semalam sebelum peserta bermalam di Panalaban dan meneruskan pendakian ke puncak pada 2.30 pagi tadi.

Ekspedisi julung kali dianjurkan Kelab Kakitangan Bernama (KKB) itu turut mencapai objektif penganjurannya untuk menyemarakkan sambutan HAWANA 2026, di samping memupuk semangat kerja berpasukan, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Bernama.

Pendakian itu turut menjadi platform kepada KKB mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pengamal media terbesar daripada sebuah organisasi mendaki Gunung Kinabalu dan organisasi media pertama membuat liputan berita dalam empat bahasa dari puncak gunung berkenaan.

Penganjuran ekspedisi itu mendapat sokongan rakan strategik termasuk BMAI, sebuah jenama pakaian sukan antarabangsa, Batik Air dan 100Plus. 

Selain itu, ekspedisi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada EHH Food Industry Sdn Bhd, Saloma Bistro, Malaysia Airports, Malaysia Insight, UFL, Sabah Parks dan Marathon Baker.

Berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut, Gunung Kinabalu terletak dalam Taman Kinabalu yang meliputi kawasan seluas 754 kilometer persegi.

Gunung itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta sebahagian daripada Geopark Global UNESCO Kinabalu (KUGGp).

Sementara itu, Arul Rajoo, 57, menyifatkan kejayaan ekspedisi itu hasil perancangan rapi sejak hujung tahun lepas serta komitmen tinggi warga Bernama yang sanggup mengorbankan masa cuti untuk menjalani latihan dan membuat pelbagai persiapan.

“Pada mulanya saya sendiri tidak yakin mampu sampai ke puncak memandangkan faktor usia dan kekurangan latihan, tetapi dorongan dan semangat daripada rakan-rakan Bernama memberi keyakinan kepada saya untuk meneruskan cabaran ini,” katanya. 

Beliau berkata semangat kerja berpasukan menjadi faktor utama kejayaan ekspedisi itu apabila setiap peserta saling membantu sepanjang pendakian dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Apa paling membanggakan bukan sekadar berjaya sampai ke puncak, tetapi semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua peserta. Kami memastikan setiap rakan berada dalam keadaan selamat dan mampu menamatkan pendakian bersama-sama,” katanya. 

Beliau juga berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada warga Bernama untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan semangat berpasukan. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan