WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HSBC Sasar FBM KLCI 1,850 Mata Pada Akhir Tahun, Naik 10 Peratus Daripada Paras Semasa

01/07/2026 08:06 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- HSBC Private Bank and Premier Wealth menetapkan sasaran akhir tahun pada 1,850 mata bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), menunjukkan kenaikan kira-kira 10 peratus daripada paras semasa.

Bakal Ketua Pegawai Pelaburan bagi Asia, Desmond Kuang berkata bank itu kekal neutral terhadap ekuiti Malaysia, namun terdapat ruang untuk indeks penanda aras itu terus mengukuh.

Pelantikan beliau akan berkuat kuasa 6 Julai, 2026.

"Sebahagian besar kenaikan itu dijangka didorong oleh pertumbuhan keuntungan korporat berbanding peningkatan penilaian, memandangkan pasaran ekuiti Malaysia kini didagangkan dalam julat saksama terdahulu iaitu kira-kira 15 kali keuntungan," katanya pada sesi taklimat prospek pelaburan suku ketiga 2026 HSBC bersama-sama media, hari ini.

Beliau berkata prospek pasaran terus disokong oleh saham berkaitan tenaga susulan pendedahan Malaysia kepada minyak dan bahan kimia di samping peluang terpilih daripada perdagangan kecerdasan buatan (AI) termasuk pengembangan pusat data dan rantaian bekalan semikonduktor.

Mengenai prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Kuang berkata HSBC mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi keseluruhan 2026 pada kadar 4.5 peratus susulan sebahagian besar inflasi domestik kekal baik serta subsidi yang besar membantu mengekang kenaikan harga petrol.

"KDNK Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama, lebih perlahan berbanding kadar melebihi 6.0 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2025.

"Kami berpandangan penyederhanaan ini mencerminkan normalisasi selepas prestasi yang amat kukuh pada suku sebelumnya dan bukannya kehilangan momentum yang ketara," katanya.

Mengulas faktor luaran, beliau berkata konflik Asia Barat yang berterusan menyerlahkan kelebihan Malaysia sebagai pengeksport tenaga.

"Walaupun Malaysia masih merupakan pengimport bersih minyak mentah yang sederhana, negara ini ialah pengeksport bersih utama gas asli, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik dalam persekitaran semasa.

"Walaupun menghadapi ketidaktentuan luaran, pertumbuhan KDNK domestik yang berdaya tahan dan keuntungan korporat yang stabil menyokong pasaran ekuiti Malaysia. Kami melihat risiko yang lebih seimbang dan mengekalkan prospek neutral," katanya.

Mengenai tinjauan bagi pelaburan di Asia, Kuang berkata memandangkan pelaburan dalam AI semakin pesat pada peringkat global, Asia berkedudukan baik untuk meraih manfaat susulan rantau ini menerajui semikonduktor dan mencatat kemajuan pesat dari segi model bahasa besar (LLM).

"Selain AI, pelabur juga boleh memanfaatkan peluang yang semakin meluas yang ditawarkan melalui potensi pendapatan daripada bon, di samping penambahbaikan berterusan dalam pembaharuan tadbir urus korporat di Jepun, Korea Selatan, China dan Singapura," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata amat penting untuk Malaysia memperkukuh standard tadbir urus korporat bagi meningkatkan daya saing.

Beliau berkata persaingan pelaburan kini beralih daripada pengeluaran berkos rendah dan pelaburan bermodal asas kepada sektor bernilai tinggi seperti AI, pusat data dan pembuatan termaju.

"Dalam pasaran yang lebih menumpukan kualiti berbanding kuantiti, pelabur mementingkan ketelusan, dasar yang konsisten serta institusi yang berwibawa.

"Tadbir urus korporat yang cekap dapat mengurangkan risiko pelaburan dan meningkatkan keyakinan pelabur bahawa modal jangka panjang mereka akan dilindungi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Iqbal berkata oleh itu, tadbir urus korporat yang cekap boleh membantu Malaysia menarik bukan sahaja lebih banyak pelaburan asing malah juga pelaburan berkualiti tinggi yang membawa pemindahan teknologi, pekerjaan berkemahiran serta penglibatan industri tempatan yang lebih luas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan