WILAYAH - UTARA > BERITA

Representasi Wanita Gugur Tuduhan Cuba Serang Sultan Nazrin Ditolak

01/07/2026 05:50 PM

IPOH, 1 Julai (Bernama) -- Pihak pendakwaan menolak representasi seorang wanita supaya digugurkan pertuduhan terhadapnya yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, di hadapan Majistret Norizan Ridzuan yang kemudiannya menetapkan 6 Julai ini bagi pengurusan kes.

Pada 8 Okt tahun lepas, mahkamah itu menolak pengakuan bersalah Nurhaswani Afni selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini menyatakan tertuduh menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.

Wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 8 Sept 2025, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan