WILAYAH - UTARA > BERITA

Penduduk Mohon Lampu Isyarat, Kurangkan Risiko Kemalangan

08/11/2026 02:56 PM

TANJONG MALIM, 8 Nov (Bernama) -- Penduduk sekitar Perumahan Awam 3, Jalan Slim Lama di sini memohon pemasangan lampu isyarat di persimpangan menghubungkan Lebuhraya Behrang Stesen-Tanjong Malim (FT193) dengan Jalan Slim-Behrang Ulu (A121) bagi mengurangkan risiko kemalangan di situ.

Persimpangan itu disifatkan berisiko tinggi, khususnya kepada penunggang motosikal berikutan pergerakan kenderaan dari pelbagai arah serta kenderaan berat, menyebabkan lampu isyarat amat penting bagi mengawal aliran trafik di lokasi tersebut. 

Yameeun Marsudi, 75, yang menetap di situ sejak 1996 berkata pengguna dari arah Tanjong Malim yang hendak ke Perumahan Awam 3 perlu membuat pusingan U di persimpangan itu berhadapan risiko kemalangan jika pergerakan trafik tidak dikawal dengan baik.

“Keadaan ini seolah-olah menyabung nyawa, kami sentiasa bimbang, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak dan pelajar sekolah. Kami cuma mahu satu persimpangan selamat untuk semua pengguna jalan raya di sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Nizam Abdul Wahid, 44, yang menetap di situ selama 10 tahun berkata kemalangan sering berlaku di persimpangan itu termasuk yang melibatkan anak saudaranya semasa pulang dari tempat kerja kira-kira dua bulan lepas. 

“Kemalangan melibatkan anak saudara yang menunggang motosikal dari arah Behrang Stesen menghala ke Tanjong Malim dengan kereta dari arah Tanjong Malim yang hendak memasuki Jalan Slim. Saya berharap lampu isyarat dipasang segera supaya orang lain tidak mengalami nasib sama,” katanya.

Penduduk Chong Hwee Tack, 50, yang tinggal di situ sejak 20 tahun lepas berkata bimbang melihat kenderaan berat seperti bas dan lori menuruni bukit dari arah Behrang Stesen yang turut menyukarkan pengguna jalan raya untuk keluar atau membelok dengan selamat.

“Lebih membimbangkan apabila perlu melintasi persimpangan ini ketika trafik sibuk. Jangan tunggu sehingga berlaku lagi kemalangan maut baru hendak mengambil tindakan. Kami berharap permintaan ini mendapat perhatian serius kerana keselamatan nyawa tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Chong berharap pihak berkuasa, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), dapat menjalankan penilaian keselamatan dan mempertimbangkan pemasangan lampu isyarat di persimpangan tersebut. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Malim Datuk Chang Lih Kang ketika dihubungi berkata permohonan pemasangan lampu isyarat, pelebaran jalan serta penambahbaikan telah dikemukakan kepada JKR Perak sejak pertengahan tahun lepas.

Chang berkata beliau juga bertemu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi membincangkan keperluan peruntukan serta langkah segera yang perlu diambil bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di persimpangan itu.

“Keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dipandang ringan dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan tanpa menunggu lebih banyak kemalangan berlaku,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan