WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MATRADE Bawa 29 Syarikat Malaysia Terokai Pasaran China Di CIIE 2026

09/11/2026 12:02 AM

Daripada Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi

SHANGHAI, 8 Nov (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memperhebat usaha memperluas eksport makanan dan minuman Malaysia ke China menerusi penyertaannya dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2026 edisi kesembilan, dengan membawa bersama 29 syarikat tempatan untuk mempamerkan produk masing-masing.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Shanghai Norman Dzulkarnain Nasri berkata ini menandakan penyertaan kali ketujuh agensi itu dalam pameran perdagangan antarabangsa itu sejak 2018, dengan syarikat Malaysia mempamerkan produk merentasi pelbagai sektor bermula dari 5 hingga 10 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC) di Shanghai.

Beliau berkata penyertaan Malaysia merangkumi sektor makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, produk pertanian serta perkhidmatan, dengan pavilion berkenaan berfungsi sebagai platform untuk perniagaan tempatan berhubung dengan bakal pembeli serta meneroka peluang dalam pasaran China.

“Tahun ini, kami bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membawa syarikat serta produk Malaysia menembusi pasaran China,” katanya kepada Bernama.

Norman berkata permintaan terhadap produk makanan dan minuman Malaysia di China kekal menggalakkan, terutamanya bagi produk berasaskan durian, sarang burung walet serta barangan premium lain, dengan pempamer menerima maklum balas positif pada hari pembukaan pameran itu.

“Permintaan terhadap produk Malaysia, khususnya dalam sektor makanan dan minuman amat menggalakkan dalam pasaran China. Pembeli dari China amat tertarik dengan produk durian kita, sarang burung walet dan produk premium lain,” katanya.

Beliau berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan potensi syarikat Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk menembusi pasaran pengguna China yang luas dengan populasi kira-kira 1.4 bilion orang.

Menurut Norman, eksport halal Malaysia mencecah RM68.52 bilion pada 2025, mencatatkan peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding 2024, dengan sektor makanan dan minuman menyumbang sebanyak RM36.86 bilion daripada jumlah keseluruhan itu, sekali gus memperlihatkan kepentingan sektor berkenaan terhadap prestasi eksport negara.

Beliau berkata MATRADE akan terus memudah cara akses pasaran menerusi sesi pemadanan perniagaan, aktiviti pembentangan produk serta kolaborasi penstriman langsung bersama pemimpin pendapat utama (KOL) tempatan bagi mempromosikan produk Malaysia kepada pengguna di sana menerusi platform media sosial China.

“Menerusi inisiatif ini, kami mahu menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia, terutamanya PMKS, untuk meneroka pasaran China. Kami akan terus membantu mereka menerusi pelbagai program dan aktiviti bagi membina rangkaian hubungan dengan bakal pembeli,” katanya.

MATRADE memaklumkan bahawa China kekal sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia, dengan perdagangan dua hala mencecah RM542.2 bilion pada 2025, meningkat sebanyak 12 peratus dari tahun sebelumnya.

Penyertaan agensi itu dalam CIIE 2026 dijangka dapat terus memperkukuh perkongsian komersial, memperluas peluang eksport serta menjalin hubungan perniagaan mampan antara pengeksport Malaysia dan pembeli dari China.

CIIE yang diasaskan pada 2018 merupakan pameran peringkat kebangsaan berprestij China yang dikhususkan untuk import, menyediakan platform antarabangsa bagi perniagaan mempamerkan produk, meneroka peluang perdagangan dan mengukuhkan kerjasama komersial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan