WILAYAH - SELATAN > BERITA

Chetti Melaka Meriahkan Sambutan Deepavali Dengan Adat Dan Budaya Tersendiri

08/11/2026 09:16 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

MELAKA, 8 Nov (Bernama) -- Suasana sambutan Pesta Cahaya dalam kalangan komuniti Chetti Melaka di Kampung Chetti di sini hari ini mempunyai keunikan tersendiri dengan perayaan itu diraikan penuh muhibah dan keakraban kekeluargaan.

Meskipun difahamkan hanya kira-kira 30 keluarga yang masih menetap di kampung warisan itu, namun kemeriahan Deepavali dengan beberapa kelainan membuktikan bahawa komuniti minoriti itu tetap teguh mempertahankan keunikan adat dan identiti mereka yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Antara kelainan berbanding amalan masyarakat Hindu lain, ialah tradisi sami kuil yang menghantar “prasadam”dan berkunjung menziarahi rumah ke rumah untuk memberi restu kepada setiap keluarga.

Namun kefahaman dan pengetahuan masyarakat mengenai keunikan budaya dan sejarah Chetti Melaka tidak begitu meluas terutama masyarakat di luar negeri ini sehingga menimbulkan salah faham mengenai identiti sebenar komuniti itu.

Mujur masih ada dalam kalangan komuniti Chetti Melaka yang mengetahui dan berpegang teguh mempertahankan identiti mereka seperti Wenila Nadarajan, 46.

Wenila, seorang pengusaha makanan Chetti di Jalan Tengkera, menyifatkan dirinya sering menjadi pencerita atau storyteller bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai asal usul masyarakat Peranakan India itu yang menganut agama Hindu tetapi bertutur bahasa Melayu kreol.

“Saya di kedai macam storyteller. Orang datang, saya kena cerita orang Chetti tu apa, sebab orang tak tahu. Memang orang banyak tak tahu, orang luar Melaka dia tak tahu.

"Ramai ingatkan masyarakat Chetti tu Islam ke, sebab dia berbahasa Melayu, atau sebab dia tak tahu cakap Tamil, walaupun tak semua. Dulu masyarakat Chetti memang cakap bahasa Baba Melayu, tapi sekarang banyak juga yang berkahwin dengan India dan Cina, jadi rojaklah bercampur-campur," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini. 

Wenila turut berharap usaha mempromosi dan pendedahan mengenai masyarakat Chetti Melaka menerusi buku teks sejarah sekolah dapat diperluas agar generasi baharu lebih mengenali kewujudan mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kebanggaan terhadap keunikan identiti dan tradisi masyarakat itu, tersirat kebimbangan mendalam dalam kalangan komuniti Chetti Melaka mengenai masa depan perkampungan warisan berkenaan yang kian terancam akibat pembangunan yang pesat.

Seorang anak jati kampung ini, Shanmugam Raja, 57, berkata kawasan penempatan bersejarah berkenaan perlu dilindungi daripada arus pembangunan fizikal yang boleh melenyapkan budaya komuniti tersebut.

"Tempat ini patut dikekalkan, sebab kalau kampung ini tidak diwarta dan pembangunan berlaku secara tidak terkawal, ia akan memberi kesan kepada kampung ini. Kalau kampung ini tak ada, kaum Chetti dengan kita punya kebudayaan dan warisan, akan pupus serta hilang dengan pantas.

"Satu yang saya perhatikan, kalau kaum tu tak tinggal setempat, mereka nak amalkan budaya dan tradisi itu bukan susah tapi tak ada dorongan. Sekarang jiran-jiran semua sama-sama amalkan, jadi lebih menyenangkan dan lebih meriah," katanya.

Beliau yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat turut menyuarakan kegusaran terhadap generasi muda yang berhijrah, kemudian pulang ke kampung namun dengan mentaliti sebagai “tetamu” dan bukannya “tuan rumah”, sekali gus mengurangkan rasa tanggungjawab dalam mewarisi adat budaya.

"Saya perhatikan banyak generasi baharu ini bila dia balik, dia tak anggap diri dia sebagai hos, tetapi sebagai tetamu. Bila jadi begini, dia tidak akan ambil apa-apa bahagian dalam aktiviti-aktiviti di sini. Itu yang menjadi masalah yang mana lama-lama akan hilanglah amalan (budaya) itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan