KUANTAN, 8 Nov (Bernama) -- Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir terutama di lokasi hotspot, kawasan rendah serta berisiko bermula hari ini hingga 11 Nov.
Kenyataan PRABN memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (waspada) oleh Jabatan Meteorologi pada 4.30 petang hari ini.
Antara lokasi diramalkan terlibat di Kuantan ialah kawasan dalam Lembagan Sungai Kuantan, iaitu Sungai Kuantan, Sungai Lembing, Sungai Kenau, Sungai Beserah, Sungai Chereh, Sungai Belat dan Sungai Soi.
“Turut terlibat Lembangan Sungai Cherating (Sungai Cherating), Lembangan Sungai Pahang (Sungai Lepar) dan Lembangan Sungai Penor (Sungai Penor),” menurut kenyataan itu.
Bagi daerah Pekan, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Bebar (Sungai Bebar), Lembangan Sungai Miang (Sungai Miang), Lembangan Sungai Pahang (Sungai Pahang, Sungai Pahang Tua dan Sungai Mentiga) serta Lembangan Sungai Mercung (Sungai Mercung).
Rompin pula membabitkan kawasan di Lembangan Sungai Endau (Sungai Endau dan Sungai Anak Endau), Lembangan Sungai Rompin (Sungai Rompin, Sungai Pukin, Sungai Kepasing, Sungai Keratong, Sungai Jeram, Sungai Gayong, Sungai Chanis dan Sungai Buan) selain Lembangan Sungai Pontian Pahang (Sungai Pontian Pahang).
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan... amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial