Ad Banner
 GENERAL > NEWS

Jawatankuasa Pemandu Sokong Rangka Kerja Berstruktur Tangani Isu Kuil Tidak Berdaftar

23/02/2026 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan telah sebulat suara menerima rangka kerja berstruktur bagi mengklasifikasikan kuil kepada empat kategori, sebagai langkah menangani isu kuil Hindu yang tidak berdaftar di seluruh negara.

Jawatankuasa berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat pada mesyuarat keduanya yang berlangsung 21 Feb lepas, di ibu pejabat Malaysia Hindu Sangam, Petaling Jaya.

“Jawatankuasa itu mengakui isu kuil yang tidak berdaftar semakin membimbangkan. Jika tidak diuruskan dengan baik, perkara ini boleh menjejaskan keharmonian sosial serta berpotensi membawa implikasi lebih besar kepada negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sehubungan itu, jawatankuasa komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan penyelesaian yang bertanggungjawab dan seimbang. Jawatankusa turut menegaskan bahawa mandatnya bukan untuk mendaftarkan kuil secara sewenang-wenangnya, tetapi untuk membantu kuil mengenal pasti pendekatan paling sesuai dan mematuhi undang-undang bagi tujuan pengurusan yang teratur,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, di bawah rangka kerja berkenaan, kuil kategori hijau ialah kuil yang mempunyai dokumentasi lengkap dan sah, termasuk status warta serta pemilikan tanah atau kelulusan sewajarnya, dan dianggap telah diseragamkan sepenuhnya.

Kuil kategori kuning pula ialah kuil yang menduduki tanah persendirian atau tanah diperuntukkan bagi rumah ibadat bukan Islam (RIBI) tetapi masih belum memperoleh status pengisytiharan atau dokumentasi hak milik tanah yang sah. Jawatankuasa itu akan membantu kuil berkenaan dalam memohon status pengisytiharan dan menjalankan prosedur pengurusan teratur.

Kuil kategori jingga merangkumi kuil di atas tanah kerajaan, tanah milik agensi kerajaan, tanah persendirian atau tanah estet tetapi mempunyai kelulusan atau perjanjian dengan pemilik tanah berkenaan.

“Bagi kuil-kuil berkenaan, jawatankuasa akan mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk memudah cara pembelian tanah oleh pihak kuil atau membantu mendapatkan tanah RIBI daripada kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Kuil kategori merah pula ialah kuil yang tidak mempunyai sebarang dokumentasi, kelulusan atau perjanjian daripada pemilik tanah, dan bagi perkara sebegini, jawatankuasa akan mengenal pasti pilihan bersesuaian, termasuk kemungkinan membeli tanah berkenaan atau bergabung dengan kuil berdaftar sedia ada sekiranya sesuai dan praktikal.

“Jawatankuasa itu menegaskan prinsip utamanya adalah membantu kuil mengenal pasti penyelesaian paling realistik, mematuhi undang-undang, dan mampan, sambil melindungi hak beragama serta memastikan keharmonian negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, jawatankuasa bersetuju memberikan sokongan dari aspek perundangan, ritual (Agamam) dan teknikal lain bagi memastikan penyelesaian yang dicapai adalah menyeluruh serta mengormati sensitiviti agama.

Jawatankuasa juga memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri-menteri berkaitan termasuk Menteri Perpaduan Negara, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menteri lain atau wakil mereka bagi memudah cara penyelarasan tindakan kerajaan berhubung perkara itu.

“Mengenai bancian kuil sedang dijalankan, kira-kira 450 kuil telah memberikan maklum balas setakat ini dan penyerahan masih diterima. Jawatankuas amenggesa semua kuil Hindu di seluruh negara supaya melengkapkan dan mengemukakan borang bancian berkenaan bagi membolehkan langkah seterusnya diambil secara tersusun dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan dihadiri wakil wakil daripada organisasi anggota yang merangkumi pelbagai pertubuhan Hindu seluruh negara, serta Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) dan wakil daripada parti politik.

Menurut kenyataan itu, kehadirin wakil yang dipilih serta pihak berkepentingan politik mencerminkan sifat dwipastisan jawatankuasa itu, yang bersatu di bawah satu objektif iaitu menangani dan menyelesaikan isu kuil Hindu tidak berdaftar di Malaysia secara teratur, sah di sini undang-undang dan mampan.

“Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan terus komited kepada pendekatan dwipastisan, inklusif dan berorientasikan penyelesaian dalam menangani isu lama ini demi kepentingan komuniti Hindu serta negara secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA provides up-to-date authentic and comprehensive news and information which are disseminated via BERNAMA Wires; www.bernama.com; BERNAMA TV on Astro 502, unifi TV 631 and MYTV 121 channels and BERNAMA Radio on FM93.9 (Klang Valley), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) and FM100.9 (Kuching) frequencies.

Follow us on social media :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy