BERITA TERKINI   Malaysia kekal dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus kesan krisis tenaga global - TPM Fadillah | Krisis Tenaga Global: Langkah penjimatan tenaga nasional cermin komitmen kerajaan memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga berhemat - TPM Fadillah | Bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil - TPM Fadillah | Kerajaan telah sediakan pelan kontingensi pastikan kelangsungan bekalan dalam sebarang keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif jika gangguan berpanjangan - TPM Fadillah | Kerajaan, Petronas serta peserta industri pantau rantaian bekalan setiap hari - TPM Fadillah | 

India Naikkan Cukai Import Minyak Sawit Dan Minyak Makan Lain Sebanyak 20 Peratus

Daripada Shakir Husain

NEW DELHI, 14 Sept (Bernama) -- India menaikkan cukai import ke atas minyak sawit dan minyak makan lain sebanyak 20 peratus, satu langkah yang dilihat sebagai membantu petani biji benih minyak tempatan.

Kenaikan cukai itu berkuat kuasa mulai 14 September, demikian dimaklumkan kerajaan pada Jumaat. 

Duti kastam asas ke atas minyak sawit mentah, minyak kacang soya dan minyak bunga matahari dinaikkan daripada sifar kepada 20 peratus manakala produk ditapis meningkat daripada 12.5 peratus kepada 32.5 peratus.

Bersama-sama dengan infrastruktur pertanian India dan ses pembangunan dan surcaj kebajikan sosial, kadar efektif duti import ke atas minyak mentah akan meningkat daripada 5.5 peratus kepada 27.5 peratus, dan daripada 13.75 peratus kepada 35.75 peratus bagi minyak ditapis.

Sebuah kumpulan perdagangan India telah telah menggesa kerajaan menaikkan duti import ke atas minyak makan untuk menyokong "harga imbuhan" bagi petani biji benih minyak tempatan.

India adalah pengimport utama dan pengguna kedua terbesar dunia bagi minyak makan.

Negara itu mengimport 2.83 juta tan minyak sawit dari Malaysia 2023, menyumbang 18 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Pembekal lain adalah Indonesia dan Thailand.

India mengimport minyak soya dan minyak bunga matahari dari Argentina, Brazil, Rusia dan Ukraine.

Menurut data industri, import minyak sawit India dari Malaysia pada Ogos berjumlah 321,952 tan, termasuk 305,122 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 14,800 tan olein sawit RBD. 

Bahagian minyak sawit daripada jumlah import minyak sayuran sebanyak 1.53 juta tan pada bulan lepas ialah 52 peratus.

-- BERNAMA