Cropmate Dapat Kelulusan Bursa Malaysia Untuk Disenarai Di Pasaran Ace

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Syarikat baja khusus, Cropmate Bhd (Cropmate) menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Menurut draf prospektus Cropmate bagi tawaran awam permulaan (IPO), syarikat itu berkata  penyenaraian berkenaan akan melibatkan terbitan awam sebanyak 210 juta saham biasa baharu dalam Cropmate.

Katanya, ini mewakili 28.4 peratus daripada jumlah yang diperbesarkan sebanyak 738.0 juta saham terbitan dengan tawaran untuk jualan sebanyak 50.0 juta saham yang mewakili 6.8 peratus daripada jumlah saham yang diperbesarkan sebanyak 738.0 juta saham terbitan.

“Sebagai syarikat baja khusus pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, penyenaraian ini merupakan pencapaian penting bagi Cropmate.

“IPO ini membuka peluang kepada pasaran modal, memberikan kami sumber yang diperlukan untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya dan mengukuhkan penerajuan kami dalam industri baja,” kata Pengarah Urusan Cropmate Lee Chin Yok dalam satu kenyataan hari ini.

 Beliau juga berkata dana yang diraih akan digunakan untuk menyokong inisiatif strategik syarikat, terutamanya dalam menaik taraf proses penimbangan automatik, menubuhkan penyelidikan dan pembangunan serta makmal ujian, pembelian peralatan dan kenderaan serta pembelian kilang.

Hong Leong Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan penyelaras.

Bagi tahun kewangan 2023, Cropmate mencatat perolehan kumpulan sebanyak RM151.5 juta dengan segmen formulasi dan pencampuran menjadi penyumbang utama perolehan iaitu menyumbang sebanyak RM112.1 juta.

Ini merupakan 74.0 peratus daripada jumlah perolehan manakala segmen perdagangan menyumbang sebanyak RM39.4 juta yang mewakili 26.0 peratus bagi tahun kewangan 2023.

-- BERNAMA