BERITA TERKINI   Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | Cabaran dalam industri media hari ini memerlukan respons bersama melalui dialog, perkongsian dan komitmen kolektif - KPE Bernama | 

Pertumbuhan Aset Kewangan Malaysia Kukuh Pada 2023 Dipacu Sektor Insurans Dan Pencen - Allianz

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) – Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam aset kewangan pada 2023 dengan aset kewangan bersih per kapita mencecah EUR9,430 (1 EUR = RM4.6427), menurut Allianz Malaysia Bhd.

Pencapaian ini menempatkan Malaysia secara kukuh dalam kedudukan pertengahan di peringkat global dan Asia, mencerminkan trend positif dalam landskap kewangan negara, katanya dalam Laporan Kekayaan Global terbaharunya.

Allianz berkata pemacu utama kepada pertumbuhan ini ialah sektor insurans dan pencen.

“Sektor ini menyumbang sebanyak 42 peratus daripada portfolio kewangan negara, meningkat 9.8 peratus, pertumbuhan terpantas dalam tempoh lima tahun.

“Deposit bank juga berkembang dengan kukuh sebanyak 5.2 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, sekuriti sebagai kelas aset yang mencatatkan pertumbuhan perlahan, hanya meningkat sebanyak 0.3 peratus, walaupun ini merupakan peningkatan selepas dua tahun mengalami pertumbuhan negatif.

“Apabila diselaraskan dengan inflasi, peningkatan pada 2023 hampir separuh kepada 3.2 peratus, dengan aset kewangan sebenar hanya melebihi sedikit daripada paras pada 2020 (0.8 peratus), walaupun ia masih jauh lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik (9.1 peratus),” kata Allianz.

Katanya hutang terus meningkat pada kadar 5.7 peratus, menjadikan nisbah hutang negara kepada 81 peratus pada akhir 2023.

Walaupun ini antara nisbah hutang tertinggi di Asia, ia masih lebih rendah daripada paras sebelum pandemik sebanyak 85 peratus, menurut Allianz.

-- BERNAMA