BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

MPM Perkukuh Kerjasama Dengan Agensi Kerajaan Bagi Tingkat Operasi Pelabuhan

LABUAN, 25 Sept (Bernama) -- Pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk memastikan operasi pelabuhan berjalan lancar.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Patrick Tiong berkata langkah ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menghapuskan amalan kerja secara silo dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan utama industri.

Sesi libat urus dengan agensi kerajaan adalah penting untuk membina hubungan baik dalam melancarkan operasi harian pelabuhan dengan kerjasama daripada agensi kerajaan, katanya pada majlis minum petang MPM bersama agensi kerajaan di sini hari ini.

“Kerjasama ini akan membolehkan MPM terus meningkatkan perkhidmatannya, memastikan kecekapan dan pematuhan terhadap keperluan peraturan,” katanya.

Wakil jabatan yang hadir pada majlis itu adalah daripada Jabatan Kesihatan Labuan; Jabatan Alam Sekitar; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Tenaga Kerja; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Majlis Keselamatan Negara; Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan Ibu Pejabat Polis Labuan.

Tiong berkata agensi kerajaan ini memainkan peranan penting dalam mengawasi pelbagai aspek pengurusan pelabuhan, daripada kesihatan dan keselamatan hingga perlindungan alam sekitar dan keselamatan, mencerminkan pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan operasi pelabuhan.

“Kerjasama ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, memberi manfaat bukan sahaja kepada pelabuhan tetapi juga sektor logistik dan perdagangan yang lebih luas di Labuan.

“Dengan inisiatif kerjasama sedemikian, MPM akan mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemain utama dalam industri maritim di rantau ini serta menyumbang kepada matlamat kerajaan untuk menggalakkan amalan mampan dan inovatif dalam pelbagai sektor,” katanya.

-- BERNAMA