BERITA TERKINI   Malaysia dan Brunei menggalakkan Petronas dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk memajukan projek bersama dan merealisasikan potensi penuhnya dalam jangka masa yang dipersetujui bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan sumber bersama dan kelebihan geografi Borneo untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan untuk rakyat - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei komited untuk memajukan inisiatif strategik dalam bidang tenaga, kesalinghubungan, pertanian, pelancongan dan industri halal secara bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama di bawah pelbagai mekanisme keselamatan dan pertahanan yang diterajui ASEAN | Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah nantikan pembaharuan MoU Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Teknikal dan Vokasional | 

Terima Guna Piawaian Audit Dalaman Global Perkukuh Kelebihan Daya Saing Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Penerimagunaan Piawaian Audit Dalaman Global baharu yang ditetapkan berkuat kuasa pada 9 Jan, 2025 akan memperkukuh daya saing Malaysia, menurut Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia).

Presiden Mohd Khaidzir Shahari berkata Piawaian Global, berasaskan 15 prinsip panduan, menawarkan peluang kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan dan fungsi lain untuk bekerjasama rapat dengan juruaudit dalaman sebagai rakan transformasi dalam menangani ancaman yang muncul dan memanfaatkan peluang.

“Audit dalaman kini perlu bekerjasama dengan pihak pengurusan, memastikan ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah dimaklumkan mengenai sebarang risiko yang dihadapi syarikat.

"Ini adalah peranan penasihat yang perlu dilakukan juruaudit dalaman, seperti yang ditetapkan dalam piawaian itu,” katanya semasa meja bulat media, yang diadakan sempena Persidangan Institut Juruaudit Dalaman Kebangsaan 2024 di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, piawaian audit dalaman berpandukan Rangka Kerja Amalan Profesional Antarabangsa (IPPF).

Mohd Khaidzir berkata piawaian global baharu itu menyediakan panduan kepada badan berkanun untuk sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, sekali gus meningkatkan tadbir urus dalam bidang utama seperti isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta keselamatan siber.

Sejak 2008, kerajaan Malaysia telah mewajibkan syarikat senaraian awam mewujudkan fungsi audit dalaman untuk meningkatkan ketelusan melalui tadbir urus korporat.

Bagaimanapun, pematuhan yang masih secara sukarela kepada piawaian audit dalaman global, menyebabkan banyak organisasi terdedah kepada risiko dan kehilangan peluang untuk penciptaan nilai.

Mohd Khaidzir berkata piawaian global baharu itu menetapkan keperluan minimum untuk audit dalaman, terpakai bagi sektor komersial dan awam, tanpa mengira saiz organisasi.

Menurut IIA Malaysia, kini terdapat 827 juruaudit dalaman bertauliah di negara ini.

Penerimagunaan piawaian itu secara konsisten akan meningkatkan profesion, memupuk kepercayaan, kebolehpercayaan dan keyakinan terhadap kerja juruaudit dalaman di seluruh dunia.

Akhirnya, komitmen sejagat terhadap piawaian itu akan memperkukuh reputasi profesion sebagai aset yang amat diperlukan komuniti perniagaan, tambahnya.

-- BERNAMA