BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Malaysia Sedia Terajui ASEAN Dalam Pembangunan AI Melalui Kerjasama Strategik - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menjalin kerjasama dengan peneraju industri dan meningkatkan kolaborasi dalam kalangan pihak berkepentingan sebagai usaha untuk menjadi negara yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) terkemuka di ASEAN.

Beliau menegaskan pendigitalan di ASEAN antara keutamaan Malaysia dalam negara bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi kumpulan ekonomi tersebut.

“Isu pendigitalan dan rangkaian bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk seluruh rantau ini. Kita perlu mendengar dan berbincang dengan pasukan Google untuk mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil bagi mempercepatkan proses (pendigitalan) ini,” kata beliau hari ini.

Anwar berkata demikian dalam ucapan merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia yang merangkumi pelaburan bernilai US$2 bilion di sini.

Dari perspektif serantau, beliau berkata apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun depan, negara akan menjadi peneraju untuk dasar-dasar digital yang berpandangan ke hadapan dan transformatif.

Beliau berkata pendekatan ini bertujuan memupuk persekitaran kawal selia yang menggalakkan kemajuan teknologi dan menerapkan kerjasama rentas sempadan.

“Saya gembira apabila syarikat teknologi global seperti Google mengiktiraf potensi negara kita dan mahu menyumbang kepada pertumbuhan kita secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kami bukan hanya ingin menarik sebarang pelaburan pusat data, kami mahu rakan kongsi yang berkongsi nilai-nilai kami ke arah masa depan yang mampan,” kata beliau.

-- BERNAMA