BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Naratif Kukuh Kerajaan Dorong Ringgit Antara Mata Wang Berprestasi Terbaik Dunia - Rafizi

SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Langkah mengguna pakai naratif bersesuaian dan keberanian melaksanakan beberapa keputusan yang sukar telah menyumbang kepada peningkatan ringgit untuk muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik dunia berbanding dolar AS, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata Malaysia berpotensi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sekiranya semua pihak memfokuskan untuk meningkatkan prestasi ringgit.

"Kita telah menyaksikan pengaliran wang ke pasaran saham kita sejak Julai tahun lepas, dan sebahagiannya berikutan kita telah menyediakan naratif bersesuaian dan melakukan beberapa keputusan yang sukar.

“Jika kita terus melaksanakan sesuatu yang betul -- walaupun terdapat cabaran atau kritikan yang kita hadapi -- dan fokus kepada kekuatan kita untuk mengekalkan kelebihan daya saing yang menarik ramai ke sini, kita sewajarnya dapat mengharungi apa sahaja ‘eksternaliti' tidak dirancang yang berlaku," katanya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Beliau berkata prestasi semasa ringgit telah meningkatkan keyakinan pelabur dunia dan antarabangsa terhadap Malaysia, yang perlu dimanfaatkan oleh perniagaan dan pemain industri.

“Pelabur antarabangsa dan dunia yakin dengan kita dan mereka memberi tumpuan kepada Malaysia pada masa ini. Kita perlu meminta semua pihak untuk merebut peluang ini.

“Saya berharap kita boleh mengekalkan tumpuan dan sekiranya usaha ini berterusan, kita akan dapat menyaksikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang berakhirnya RMK-13,” katanya.

-- BERNAMA