BERITA TERKINI   Kerajaan bincang tingkat kuota BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter Selasa ini - Anwar | Kaedah IBS projek Sekolah Angkat MADANI percepat pembinaan, jimat kos hingga 30 peratus - Amir Hamzah | Menteri Kewangan akan bertemu Sultan Pahang perjelas isu peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang - Amir Hamzah | Rafizi dan Nik Nazmi umum keluar PKR, kosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok | PM Anwar beri amaran agar tiada pihak cuba ugut, khianati kerjasama politik | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Disebabkan Risiko Geopolitik Yang Berterusan

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu dicetuskan oleh peningkatan risiko geopolitik di Timur Tengah yang menyebabkan pelabur berminat terhadap komoditi itu.

Bagaimanapun, dolar AS yang kukuh dan jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih kecil mengehadkan kenaikan itu.

Pengerusi Fed Jerome Powell berkata pemotongan kadar faedah pada separuh mata peratusan pada September tidak seharusnya dilihat sebagai petunjuk kepada langkah agresif yang serupa pada masa depan.

Beliau mencadangkan jika data ekonomi kekal stabil, dua pengurangan kadar tambahan mungkin berlaku tahun ini, tetapi berkemungkinan dalam suku mata peratusan setiap satu.

Di pasaran tempatan, kontrak niaga hadapan emas bulan semerta Oktober 2024 meningkat kepada US$2,667.50 setiap auns troy daripada US$2,660.70 setiap auns troy pada Selasa.

Sementara itu, kontrak November 2024, Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$2,688.80 setiap auns troy berbanding US$2,681.80 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14 lot daripada sembilan lot, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 46 kontrak daripada 24 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 1 Oktober, 2024, harga emas fizikal berada pada US$2,667.95 setiap auns troy.

-- BERNAMA