BERITA TERKINI   MITI akan mengadakan sidang media pada Rabu 9 Julai, 2025 pada pukul 6 petang di Menara MITI mengenai pengenaan tarif AS sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia - Tengku Zafrul | UniKL-ASTI akan jadi komponen penting dalam ekosistem pembangunan logistik serantau, Perlis sebagai hab strategik - Ahmad Zahid | Kampus UniKL-ASTI bakal jadi pemangkin utama perkasa pendidikan tinggi teknikal berasaskan pengangkutan, logistik mapan - Ahmad Zahid | Penubuhan UniKL-ASTI di Padang Besar langkah strategik pendidikan, logistik negara - Ahmad Zahid | 

Malaysia Raih Jualan Lebih RM400 Juta Di Ekspo China-ASEAN 2024

KUALA LUMPUR, 3 Okt  (Bernama) -- Pempamer Malaysia di acara Ekspo China-ASEAN ke-21 (CAEXPO) 2024 di Nanning, China baru-baru ini, mencatat prestasi mengatasi jangkaan dengan menjana jualan bernilai lebih RM402.88 juta berbanding sasaran awal RM320 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata pencapaian itu hanya membuktikan permintaan mantap yang berterusan bagi produk Malaysia di pasaran China selain dapat mengekalkan popularitinya dalam kalangan pengguna China.

 Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata agensi itu kekal fokus dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengembangkan kehadiran mereka di peringkat global.

“Menerusi perkhidmatan promosi perdagangan secara menyeluruh yang disediakan, termasuk risikan pasaran, peluang rangkaian dan bantuan kewangan, MATRADE sedang memperkasa PKS untuk memanfaatkan pasaran besar China serta bersaing di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pavilion Malaysia dalam ekspo pada 24-28 September, mengetengahkan 150 pempamer pelbagai sektor selain menjadi penyertaan terbesar sejak pandemik COVID-19.

Antara bidang utama ditampilkan adalah makanan dan minuman, produk hasil tani, gaya hidup, penjagaan dan kesejahteraan kesihatan selain perkhidmatan seperti logistik dan pengurusan bakat.

Kehadiran Malaysia yang diterajui oleh MATRADE pada CAEXPO kali ini juga merupakan kali ke-21 berturut-turut sejak acara itu diperkenalkan.

-- BERNAMA