BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Cebu Pacific Alu-alukan Perniagaan Penyelenggaraan Komponen Pesawat Tempatan

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

MANILA, 3 Okt (Bernama) -- Cebu Pacific, syarikat penerbangan tambang rendah di Filipina mempelawa perbincangan untuk mewujudkan perniagaan penyelenggaraan komponen pesawat tempatan dalam sektor penerbangan yang semakin pesat di Asia.

Ini berikutan permintaan yang semakin mendesak untuk perkhidmatan penyelenggaraan pesawat yang lebih cekap dan bersifat tempatan tanpa bergantung kepada kemudahan di negara asing.

Naib Presiden Kejuruteraan dan Pengurusan Armada Pesawat Cebu Pacific Shevantha Weerasekera berkata banyak komponen pesawat yang penting, termasuk jaket keselamatan, alat pemadam api dan peralatan dapur, kini dihantar ke luar negara untuk diselenggara, selalunya ke kemudahan di Hong Kong, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Pergantungan pada penyelenggaraan antarabangsa ini bukan sahaja meningkatkan kos logistik tetapi juga memanjangkan masa pemulihan, mewujudkan ketidakcekapan yang boleh dikurangkan melalui operasi tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama sempena Sidang Kemuncak Penerbangan Filipina 2024 hari ini.

Weerasekera menekankan keyakinan kukuh Cebu Pacific terhadap potensi yang dibuka melalui penubuhan kemudahan penyelenggaraan komponen pesawat di Filipina, terutamanya memandangkan pertumbuhan global pesawat berbadan sempit yang pesat berkembang.

“Dengan armada pesawat yang memerlukan penggantian 30-40 komponen setiap hari, penyelenggaraan tempatan akan memperkemas operasi dan meningkatkan kemampanan dengan mengurangkan jejak karbon yang berkaitan jika penghantaran komponen dibuat di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau juga berkata sektor penyelenggaraan komponen pesawat di Filipina sebahagian besarnya masih belum diterokai.

“Tidak sukar untuk membawa kepakaran dan pengetahuan ini ke Filipina semula atau sekurang-kurangnya ke rantau ini,” katanya.

Menurut Weerasekera, kategori utama komponen yang amat sesuai untuk penyelenggaraan secara domestik termasuk komponen-komponen kabin seperti jaket penyelamat dan alat pemadam api; peralatan dapur dan tandas; serta sistem hidraulik dan pneumatik.

"Komponen-komponen tersebut memerlukan lebih sedikit latihan dan peralatan khusus, tetapi ia boleh dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kemudahan untuk komponen itu boleh diwujudkan melalui organisasi yang berpangkalan di Filipina, sama ada melalui usaha sama atau dengan membenarkan organisasi asing menubuhkan operasi di negara itu.

Pada masa ini, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Filipina dilakukan dengan kerjasama syarikat-syarikat seperti Lufthansa Technik Philippines, SIA Engineering Philippines, Aviation Partnership Philippines dan Dornier Technology Inc.

Cebu Pacific mengendalikan 17 stesen penyelenggaraan aktif di seluruh Filipina dengan memberi perkhidmatan kepada 22 pelanggan.

-- BERNAMA