BERITA TERKINI   Autonomi strategik ASEAN perlu terus dipertahankanĀ memandangkan prinsipnya semakin diterima meluas melangkaui rantau ini - Mohamad Hasan | ASEAN perlu tumpu usaha pastikan Asia Tenggara bersedia hadapi masa hadapanĀ - Mohamad Hasan | ASEAN telah mencapai kedudukan cemerlang dan mendapat penghormatan di pentas antarabangsa - PM Anwar | AMM ke-58: PM Anwar terima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar, Setiausaha Agung ASEAN | PMCK Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22.5 sen, naik setengah sen daripada harga IPO dengan 14.39 juta saham didagangkan | 

Permintaan Kargo Udara Global Tumbuh 11.4 Peratus Pada Ogos 2024 - IATA

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasaran kargo udara global menunjukkan pertumbuhan permintaan tahunan yang kukuh pada Ogos 2024, dengan tan kargo bagi setiap kilometer (CTK) meningkat 11.4 peratus berbanding Ogos 2023, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ini menandakan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun (y-o-y) bagi sembilan bulan berturut-turut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi kapasiti yang diukur dalam tan kargo bagi setiap kilometer yang tersedia (ACTK), ia meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding Ogos 2023,yang menyaksikan peningkatan 8.2 peratus.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata sektor itu mencatatkan rekod permintaan tertinggi bulan kedua berturut-turut sepanjang tahun sehingga kini.

"Walaupun dengan tahap rekod kapasiti, hasil meningkat 11.7 peratus berbanding 2023, 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, dan 46 peratus melebihi paras prapandemik.

"Prestasi kukuh ini disokong oleh pertumbuhan yang perlahan tetapi stabil dalam perdagangan global, e-dagang yang berkembang pesat dan kekangan kapasiti berterusan dalam pengangkutan maritim," katanya.

Berdasarkan rantau, syarikat penerbangan Asia Pasifik muncul sebagai yang paling kukuh dengan permintaan tumbuh sebanyak 14.6 peratus tahun ke tahun untuk kargo udara pada Ogos.

Permintaan di pasaran Asia-Afrika, Asia-Eropah dan dalam Asia, masing-masing meningkat sebanyak 21.2 peratus, 18.4 peratus dan 16.1 peratus.

Syarikat-syarikat penerbangan Amerika Utara mengalami pertumbuhan yang paling rendah dalam kalangan rantau dengan hanya mencatatkan peningkatan 4.8 peratus tahun ke tahun bagi permintaan kargo udara pada Ogos.

-- BERNAMA