BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

IATA Desak Kerajaan Lindungi Penerbangan Awam Ketika Peningkatan Konflik Global

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengingatkan kerajaan di seluruh dunia mengenai kepentingan melindungi sektor penerbangan awam termasuk lapangan terbang dan infrastruktur navigasi udara ketika berada dalam tempoh konflik.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata sebagai industri yang memerlukan pelaksanaan piawaian global yang berkesan untuk beroperasi, sektor penerbangan mematuhi pematuhan standard global dan peraturan antarabangsa.

“Penerbangan awam melangkaui politik yang bertujuan mewujudkan dan mengekalkan persahabatan serta persefahaman antara negara dan rakyat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menjadi kewajipan setiap kerajaan di bawah undang-undang antarabangsa seperti Artikel 13 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk melindungi kebebasan perjalanan dalam negara dan antarabangsa sambil menegaskan Artikel 48 Konvensyen Geneva Keempat menetapkan semua pihak yang terlibat dalam konflik tidak boleh menjadikan objek awam sebagai sasaran.

Walsh berkata Konvensyen Chicago juga secara jelas mewajibkan setiap negara perlu melindungi pesawat awam dan penumpang semasa dalam penerbangan, mengelakkan daripada menggunakan kekerasan terhadap pesawat awam dan menyelaras serta berkomunikasi mengenai sebarang aktiviti yang berpotensi membahayakan penerbangan awam.

“Jangan lakukan apa-apa kemudaratan kepada pesawat awam, lapangan terbang atau perkhidmatan navigasi udara. Ia tidak boleh dirunding dan mesti dihormati walaupun pada saat kemuncak permusuhan.

“Pada masa yang sama, pihak-pihak yang berperang perlu tahu dan mematuhi peraturan konflik serta bantuan kemanusiaan seperti ditetapkan dalam undang-undang antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA