BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

Saham Public Bank, LPI Capital Digantung Pada Rabu Menjelang Pengumuman Penting

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Saham Public Bank Bhd dan LPI Capital Bhd akan digantung mulai 9 pagi esok menjelang pengumuman penting, kata pemfailan berasingan daripada kedua-dua syarikat itu kepada Bursa Malaysia pada petang Selasa.

“Dagangan dalam waran berstruktur yang berkaitan dengan Public Bank juga akan digantung pada masa sama,” kata Public Bank.

Bank itu dijangka mengadakan sidang akhbar pada 11 Oktober 2024.

Menurut kenyataan dalam jemputan medianya hari ini, kumpulan perbankan ketiga terbesar mengikut aset di Malaysia berkata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek bersama beberapa pihak berkepentingan utama akan berkongsi maklumat penting berkaitan dengan pengumuman tersebut.

Pada penutupan hari ini, saham Public Bank naik satu sen kepada RM4.57 dengan 12.18 juta saham diniagakan manakala saham LPI melonjak 22 sen kepada RM13.00 dengan 68,100 saham bertukar tangan.

LPI Capital adalah 42.74 peratus dimiliki oleh Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan swasta diwujudkan oleh pengasas Public Bank, mendiang Tan Sri Teh Hong Piow.

LPI Capital memiliki sepenuhnya syarikat insurans am Lonpac Insurance Bhd.

-- BERNAMA