BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Menjelang Data AS Utama Dikeluarkan Minggu Ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS dan data inflasi utama yang akan dikeluarkan minggu ini, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.57 mata kepada 1,640.19 daripada 1,635.62 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.04 mata lebih tinggi kepada 1,637.66.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan 209 kaunter untung mengatasi 128 kaunter rugi, manakala 247 kaunter kekal tidak berubah, 1,840 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 206.58 juta unit bernilai RM99.54 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pelabur akan meneliti minit mesyuarat, serta Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar, untuk menilai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan.

"Dalam pasaran komoditi, minyak mentah Brent mengalami penjualan, susut di bawah US$78, manakala emas menjejaki semula ke paras US$2,600,” tambahnya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu yakin pemulihan minyak mentah baru-baru ini dan aliran meningkat berterusan dalam minyak sawit mentah akan menyokong sektor seperti minyak dan gas dan perladangan.

“Menjelang Belanjawan 2025, peniaga juga mungkin menumpukan kepada sektor seperti e-invois, pembinaan, hartanah, bahan binaan, utiliti dan saham berkaitan pengguna,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM10.50, CIMB naik empat sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional melonjak 14 sen kepada RM14.32, Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.57, dan IHH Healthcare susut empat sen kepada RM7.21.

Bagi kaunter aktif, Pertama Digital susut 15.5 sen kepada 33 sen, Velocity Capital kurang setengah sen kepada 5.5 sen, manakala Crest Group menokok 2.5 sen kepada 37.5 sen, 99 Speed ​​Mart naik enam sen kepada RM2.52, dan KHPT kekal tidak berubah pada 21.5 sen.

Di papan indeks, indeks FBM Emas meningkat 37.72 mata kepada 12,306.59, indeks FBM Emas Syariah menambah 47.46 mata kepada 12,229.38, Indeks FBMT 100 menokok 39.99 mata kepada 12,002.76, Indeks FBM 70 naik 82.77 mata kepada 17,537.67 manakala Indeks FBM ACE susut 10.22 mata kepada 5,142.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 49.36 mata kepada 19,251.70, Indeks Perladangan naik 15.37 mata kepada 7,228.99 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 177.71, manakala Indeks Tenaga turun 8.96 mata kepada 886.82.

-- BERNAMA