BERITA TERKINI   Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | 

Tingkatkan Nilai Ambang WPL Beri Faedah Kepada Sektor Perladangan

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd percaya dengan menaikkan ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) kepada sekitar RM4,500 setan akan memberi manfaat kepada sektor perladangan menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt ini.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia menekankan iaitu kadar WPL semasa sebanyak tiga peratus terpakai kepada harga minyak sawit melebihi RM3,000 setan di Semenanjung Malaysia dan RM3,500 setan di Sabah dan Sarawak.

“Kami menganggarkan dengan meningkatkan ambang WPL kepada RM4,500 setiap tan akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan di bawah liputan kami sebanyak 2.0-5.0 peratus.

“Langkah ini juga akan meningkatkan leveraj pendapatan syarikat perladangan Malaysia semasa tempoh kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM),” katanya sambil menambah kenaikan nilai ambang akan memanfaatkan pengendali huluan dengan asas pendapatan yang lebih rendah.

Firma penyelidikan itu turut mencadangkan agar kerajaan merasionalisasikan subsidi minyak masak yang sebahagiannya boleh membantu mengimbangi kutipan cukai keuntungan luar biasa.

“Keuntungan jangka panjang yang lebih baik untuk sektor perladangan sawit akan menggalakkan usaha penanaman semula, meningkatkan hasil tandan buah segar dan hasil cukai di masa hadapan untuk kerajaan,” kata CIMB Securities.

Ia juga meramalkan jangkaan pasaran bagi pemansuhan atau pelarasan WPL adalah rendah kerana sektor itu masih belum dinilai semula untuk belanjawan yang akan datang.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran 2024 untuk purata harga MSM pada RM3,900 setan dengan jangkaan harga semasa akan rendah ketika musim puncak pengeluaran pada suku keempat tahun ini dan mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor itu.

-- BERNAMA