BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Ringgit Ditutup Tinggi Sedikit Berbanding Dolar US

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar US hari ini, menjelang pengumuman minit mesyuarat September, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) malam ini, yang akan menawarkan kejelasan mengenai trajektori pemotongan kadar faedahnya.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2800/2830 berbanding dolar US daripada 4.2850/2895.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata titik data seterusnya yang perlu diperhatikan ialah indeks harga pengguna (IHP) AS esok, yang dijangka menyederhana kepada 2.3 peratus pada September berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.5 peratus. "Sementara itu, peniaga dan pelabur dijangka kekal berhati-hati apabila Fed mempertimbangkan pendekatan pelonggaran monetarinya," beliau memberitahu Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.6939/6972 daripada 4.7079/7129, lebih baik berbanding yen Jepun pada 2.8792/8815 daripada 2.8988/9022 dan menokok berbanding pound British kepada 5.6012/6052 daripada 5.6108/6167.

Ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.2822/2848 daripada 3.2876/2913 yang disaksikan pada Rabu dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.52 daripada 7.53/7.54.

Ia lebih lemah berbanding baht Thailand pada 12.8010/8157 daripada 12.7933/8129 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 273.8/274.1 daripada 273.6/27 274.1.

-- BERNAMA