Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini menjelang pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bulan September pada malam ini.

Kontrak niaga hadapan emas bulan semerta Oktober 2024 susut kepada US$2,626.90 setiap auns troy daripada US$2,649 setiap auns troy semalam, manakala November 2024 jatuh kepada US$2,648.70 setiap auns troy daripada US$2,670.8 setiap auns troy sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025 semuanya ditutup rendah kepada US$2,650.10 setiap auns troy berbanding US$2,671.3 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 31 lot daripada 11 lot semalam, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 51 kontrak daripada 20 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 8 Okt, harga emas fizikal berada pada US$2,639.90 setiap auns troy.

-- BERNAMA