Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari dengan indeks petunjuk utama meningkat sebanyak 0.48 peratus, didorong minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran prestasi lebih kukuh dalam pasaran serantau.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.95 mata kepada 1,642.86 daripada 1,634.91 pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi 4.84 mata kepada 1,639.75 dan bergerak antara 1,638.67 dan 1,644.44 pada sesi dagangan pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 485 berbanding 424 manakala 463 kaunter tidak berubah, 1,069 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.52 bilion unit bernilai RM982.29 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peniaga akan memberi tumpuan kepada indeks harga pengguna dan data indeks harga pengeluar yang akan datang untuk Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh dua hari dagangan akan datang untuk mengukur hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Di peringkat tempatan, ia berkata pelabur berkemungkinan akan berdagang dalam e-invois, pembinaan, hartanah, bahan binaan, utiliti dan saham berkaitan pengguna menjelang pembentangan Belanjawan 2025.

“Selain itu, kenaikan harga minyak sawit mentah yang berterusan mungkin membawa kepada sentimen dagangan positif dalam saham perladangan.

“Ringgit diunjurkan melemah berbanding minggu lepas, sentimen boleh beralih ke arah saham berkaitan eksport,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.54, CIMB menokok 12 sen kepada RM8.15, IHH Healthcare melonjak sembilan sen kepada RM7.31 manakala Tenaga Nasional dan Hong Leong turun dua sen masing-masing kepada RM14.40 dan RM21.08.

Di kaunter cergas, Pertama Digital meningkat 7.5 sen kepada 32 sen, MY EG menambah dua sen kepada 92.5 sen, Top Glove melonjak tiga sen kepada RM1.08 manakala KHPT dan Talam tidak berubah masing-masing pada 20.5 sen dan dua sen.

Bagi papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 54.52 mata kepada 12,325.03, Indeks FBMT 100 meningkat 55.14 mata kepada 12,023.97, Indeks FBM 70 melonjak 69.18 mata kepada 17,574.85, Indeks FBM Emas Shariah menokok 48.03 mata kepada 12,214.66 manakala  Indeks FBM ACE turun 10.14 mata kepada 5,149.88.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 5.57 mata kepada 7,177.74, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.75 mata kepada 176.03, Indeks Tenaga meningkat 0.05 mata kepada 884.11 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 86.78 mata kepada 19,332.47.

-- BERNAMA