BERITA TERKINI   Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | 

Saham Public Bank, LPI Capital Disambung Semula Dagangan Pada Jumaat

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Saham Public Bank Bhd (Public Bank) dan LPI Capital Bhd (LPI Capital) akan disambung semula dagangan berkuat kuasa 9 pagi esok, menurut makluman berasingan daripada kedua-dua syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Dagangan dalam waran berstruktur yang berkaitan dengan Public Bank juga akan disambung semula pada masa yang sama,” kata Public Bank.

Kedua-dua kaunter digantung selama dua hari iaitu semalam dan hari ini sementara menunggu pengumuman utama.

Pada sidang media hari ini, kumpulan perbankan ketiga terbesar negara mengikut aset itu mendedahkan rancangannya untuk memperoleh 44.15 peratus kepentingan dalam LPI Capital secara tunai iaitu RM1.72 bilion atau RM9.80 sesaham.

Katanya, cadangan pemerolehan berkenaan akan membolehkan bank itu menyediakan perkhidmatan pelengkap yang komprehensif kepada perkhidmatan kewangan semasanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata langkah itu juga selaras dengan rancangan kumpulan untuk berkembang melangkaui pertumbuhan organik, tetapi juga melalui pemerolehan strategik.

Public Bank mempunyai rizab tunai sebanyak RM12.4 bilion pada masa ini.

Sehingga 8 Okt, 2024, permodalan pasaran LPI berjumlah RM5.2 bilion manakala Public Bank pada RM88.7 bilion.

Sewaktu dagangan ditutup pada Selasa, 8 Okt, 2024, saham Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.57 dengan 12.18 juta saham diniagakan manakala saham LPI meningkat 22 sen kepada RM13.00 dengan 68,100 saham bertukar tangan.

-- BERNAMA