BERITA TERKINI   Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama di bawah pelbagai mekanisme keselamatan dan pertahanan yang diterajui ASEAN | Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah nantikan pembaharuan MoU Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Teknikal dan Vokasional | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud dikesan di Segamat, Johor pada 8.59 pagi ini — MetMalaysia | Kerajaan komited teruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi tambah baik kutipan hasil, semakan semula perbelanjaan awam - Amir Hamzah | Kerajaan akan membangunkan garis panduan dan platform dagangan kredit karbon biru dengan kerjasama Sekretariat Sabah Maju Jaya dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah - Amir Hamzah | 

Belanjawan 2025 Dijangka Perluas Asas Cukai Seperti Cukai Gula, HVGT, GloBE - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan dijangka mengumumkan langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini memandangkan asas cukai menunjukkan pertumbuhan yang terhad sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan pada 2018.

Belanjawan 2025 menandakan belanjawan terakhir untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025).

Penasihat Ekonomi KSI Strategic Institute for Asia Pacific Anthony Dass berkata kerajaan dijangka meneroka langkah untuk meluaskan asas cukai.

“Bagi 2025, kami yakin kerajaan mungkin memperkenalkan atau melaksanakan cukai gula, cukai barang bernilai tinggi (HVGT) dan cukai Peraturan Anti-Hakisan Global (GloBE),” katanya menerusi nota hari ini.

Dass berkata turut dijangkakan adalah peningkatan cukai gula berikutan cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan cukai ke atas minuman bergula kepada 20 peratus daripada harga runcit sebagai sebahagian daripada kempen Perangi Gula.

Dass menekankan bahawa GST dijangka tidak diketengahkan dalam Belanjawan 2025 walaupun spekulasi yang meningkat dalam kalangan peserta pasaran mengenai potensi untuk ia diperkenalkan semula.

"Kami menjangka kerajaan sebaliknya akan memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk meningkatkan hasil. SST meliputi 41 peratus barangan dan perkhidmatan manakala GST sebelum ini meliputi 76 peratus," katanya.

Selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, kerajaan dijangka terus merasionalisasikan perbelanjaan mengurus (OPEX).

Belanjawan 2025 bersedia untuk menggabungkan konsolidasi OPEX terutama dalam perbelanjaan subsidi.

"Bagaimanapun, kuantum konsolidasi akan kekal sederhana," katanya.

Beliau berkata belanjawan itu dijangka memberi tumpuan kepada peningkatan kepentingan ekonomi digital dengan memperluas akses jalur lebar, mempromosikan inovasi digital dan membangunkan bandar pintar.

Turut dijangkakan adalah penekanan terhadap pelaburan bagi peningkatan infrastruktur, tebatan banjir, tenaga boleh baharu dan pemodenan grid tenaga.

-- BERNAMA