BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

DAT Percepat Sasaran Malaysia Capai Status Negara Berpendapatan Tinggi - Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Penerimagunaan yang meluas dan peningkatan teknologi pertanian digital (DAT) akan mempercepat perjalanan Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, menurut laporan Bank Dunia.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei Dr Zafer Mustafaoğlu berkata Bank Dunia telah bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi mengenai perkara ini dan telah menyediakan laporan mengenai pengintegrasian dan penggunaan teknologi digital dalam pertanian.

"Kami telah memuktamadkan laporan itu dan menjangka untuk terus mengusahakan perkara ini dan membincangkan langkah seterusnya," kata Mustafaoğlu selepas pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor: Farming the Future: Harvesting Malaysia’s Agricultural Resilience through Digital Technologies di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai penglibatan Bank Dunia dengan kerajaan Malaysia untuk mempercepat penggunaan teknologi dalam sektor pertanian.

Menurut laporan itu, DAT boleh memacu pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian kritikal berstruktur negara melalui teknologi seperti Sistem Kedudukan Sejagat, dron dan sensor.

Laporan itu turut menekankan mengenai pemulihan dalam sektor pertanian baru-baru ini, yang meningkat sebanyak 7.2 peratus pada suku kedua tahun ini.

Ini sejajar dengan prospek ekonomi Malaysia yang positif, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi keseluruhan sebanyak 4.9 peratus pada 2024, meningkat daripada 3.7 peratus pada 2023, katanya.

Mustafaoğlu berkata kerajaan Malaysia berminat untuk memanfaatkan teknologi dalam pertanian, yang diiktiraf sebagai sektor utama untuk masa depan.

Laporan itu antara lain menggariskan tindakan khusus untuk memastikan ekonomi luar bandar dan sektor agro makanan mendapat manfaat sepenuhnya daripada DAT, termasuk peningkatan pembiayaan untuk barangan awam bagi menyediakan sumber yang diperlukan untuk pelaksanaan DAT yang berkesan dan pelaburan lebih besar dalam ekosistem inovasi untuk memupuk pembangunan dan menggalakkan inovasi dalam DAT.

-- BERNAMA