BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Sebanyak RM27.17 Bilion Dana berkaitan Syarikat 1MDB Diperoleh Semula Sehingga 30 Sept 2024

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah berjaya mendapatkan kembali sejumlah RM27.17 bilion dana berkaitan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) setakat 30 Sept 2024, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata dana yang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) itu, masih berbaki sebanyak RM3.04 bilion.

"Kerajaan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang 1MDB mengikut masa yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Amir Hamzah yang berada dalam persidangan itu tidak dapat membuat ucapan penggulungan kerana mengalami keradangan saluran kerongkong atau laringitis.

Sementara itu, beliau berkata jaminan pembiayaan kepada 1MDB sehingga RM5 bilion adalah berdasarkan kepada kelulusan Jemaah Menteri pada 1 April 2009. 

Menurutnya pembiayaan ini dilaksanakan melalui terbitan sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada 29 Mei 2009 dengan tempoh matang selama 30 tahun iaitu sehingga 29 Mei 2039 dengan kadar faedah sebanyak 5.75 peratus setahun. 

"Sehingga September 2024, jumlah faedah/kupon yang telah selesai adalah RM4.312 bilion," kata Amir Hamzah.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 melaporkan Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan geran berjumlah RM39.74 bilion kepada syarikat 1MDB bagi tempoh 2019 hingga 2023 untuk pelunasan prinsipal dan perbelanjaan lain termasuk faedah bon serta bayaran kupon.

Menurut laporan itu, Kerajaan Persekutuan juga perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.46 bilion, yang terdiri daripada sejumlah RM5.0 bilion bagi prinsipal sukuk IMTN yang akan matang pada 27 Mei 2039 dan RM4.46 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039 (15 tahun 6 bulan).

-- BERNAMA