BERITA TERKINI   Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Menjejaki Kejatuhan Minyak Kacang Soya

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, menjejaki kejatuhan dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) semalaman dan harga minyak mentah yang lebih rendah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Selain itu, aktiviti pengambilan untung masih berlaku yang menjadikan niaga hadapan MSM berada di bawah penjualan besar-besaran, kata Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa.

"Kebimbangan terhadap harga yang menaik selepas niaga hadapan sawit menghampiri penutupan tertinggi pada tahun ini mencetuskan momentum penurunan impulsif," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta Oktober 2024 berkurangan sebanyak RM20 kepada RM4,350 setan, November 2024 susut RM32 kepada RM4,312 setan dan Januari 2025 jatuh RM44 kepada RM4,239 setan.

Sementara itu, kontrak Disember 2024, Februari 2025 dan Mac 2025 masing-masing susut RM41 kepada RM4,272 setan, RM4,207 setan dan RM4,169 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 95,406 lot daripada 93,051 lot semalam, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 248,273 kontrak daripada 251,084 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan jatuh RM50 kepada RM4,400 setan.

-- BERNAMA