BERITA TERKINI   Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | 

Bakal Disenarai Di Pasaran Utama, Azam Jaya Bhd Sasar Kumpul RM61.5 Juta Daripada IPO

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Firma pembinaan infrastrukur jalan raya utama yang berpangkalan di Sabah, Azam Jaya Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM61.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO), yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 Nov, 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata RM8.0 juta daripada hasil IPO itu akan diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan pembinaan dan kecekapan operasi syarikat dengan pembelian jentera dan peralatan baharu serta menaik taraf teknologi.

"Selain itu, RM28.4 juta diperuntukkan untuk modal kerja, RM20.0 juta untuk pembayaran semula pinjaman dan RM5.1 juta akan digunakan untuk untuk membayar perbelanjaan penyenaraian,” kata kumpulan itu.

Pengarah Eksekutif Datuk Lo Vun Che berkata IPO itu adalah langkah penting untuk strategi pertumbuhan jangka pangjangnya dalam usaha kumpulan itu untuk melaksanakan lebih banyak projek berskala besar.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan lagi standard pembinaan di Sabah, memperkenalkan teknik inovatif dan kejuruteraan berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini,” katanya.

Mengenai dividen, Azam Jaya menyasarkan untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham.

Pada masa ini, kumpulan itu terlibat dalam sembilan projek yang sedang dijalankan, termasuk empat pakej kerja untuk Lebuhraya Pan Borneo, menjadikan jumlah nilai kontrak belum dibilkan kepada RM1.45 bilion, memberikan kejelasan pendapatan sehingga 2028.

Lo berkata kumpulan itu berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur jalan raya yang terkenal di Sabah, seperti jambatan merentasi Sungai Sitompok dan terowong kenderaan pertama Sabah di Sepanggar, Kota Kinabalu.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 24 Oktober 2024.

Inter-Pacific Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO.

-- BERNAMA