BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Malaysia, China Perlu Kukuh Kerjasama Timbang Tara Bagi Penyelesaian Pertikaian Saksama

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia dan China perlu mengukuhkan kerjasama dalam timbang tara untuk menyediakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian yang bebas serta saksama, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. 

Beliau berkata, pertemuan yang terhasil daripada kunjungan hormat Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (SCIA) Shenzhen hari ini telah meneroka potensi penubuhan panel timbang tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC)-SCIA yang memfokuskan pada penyelesaian pertikaian rentas sempadan antara Malaysia dan China.

“Saya pertama kali melawat SCIA di Shenzhen pada April tahun ini, yang mana saya mengadakan perbincangan yang produktif dengan Dr Liu mengenai meletakkan Malaysia sebagai pusat timbang tara bagi rantau ASEAN. Malaysia berada pada kedudukan yang strategik, bukan sahaja dari segi geografi tetapi juga dari segi budaya dan profesional untuk menjadi titik pertemuan bagi semua pihak dalam bersama-sama menjalankan proses timbang tara.

“Oleh itu, dengan sukacitanya saya menerima kunjungan balas ke Kuala Lumpur hari ini bagi membincangkan lebih lanjut agenda tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Delegasi dari SCIA diketuai oleh Presidennya, Dr Liu Xiaochun. Ketua pegawai eksekutif AIAC Datuk Almalena Sharmila Johan dan Datuk Lim Chee Wee dari Lim Chee Wee Partnership turut menghadiri mesyuarat itu.

“Sebagaimana yang disebut Dr Liu, apabila ada perdagangan, sudah pasti ada potensi untuk pertikaian. Di sinilah pengantaraan dan timbang tara membentuk bahagian penting dalam hubungan perdagangan,” tambah Liew. 

Perdagangan dari Shenzhen membentuk 10 peratus daripada urus niaga antara China dan Malaysia, yang agak signifikan memandangkan China adalah rakan dagangan Malaysia yang terbesar.

AIAC dan SCIA menandatangani memorandum persefahaman pada 17 Okt, menandakan komitmen bersama mereka untuk meningkatkan hubungan profesional dua hala mereka .

-- BERNAMA