SME Bank Lancarkan Fundfest Bagi Perkasa Usahawan, Rapat Jurang Pembiayaan

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- SME Bank Malaysia Bhd melancarkan SME Bank FundFest 2024, untuk menyediakan peluang kepada usahawan sedang meningkat, syarikat pemula niaga baharu yang inovatif dan perniagaan yang semakin berkembang bagi mengakses kemudahan pembiayaan dan menyertai sesi pertukaran pengetahuan.

Dalam kenyataan hari ini, katanya program itu akan menampilkan pakar industri, pemodal teroka dan usahawan tempatan terkemuka yang telah mencipta nama di pasaran untuk berkongsi pandangan bagi mendapatkan pembiayaan, meningkatkan perniagaan dan memanfaatkan teknologi inovatif.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim menekankan bahawa program itu menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh perniagaan, terutama perusahaan pemula niaga.

Beliau berkata program itu dijangka menarik pelbagai kumpulan peserta, termasuk usahawan, penggubal dasar dan peneraju industri.

“Kami berhasrat untuk menyediakan peluang supaya usahawan boleh berhubung dengan pembiaya berpotensi, mendapatkan pandangan pakar dan meneroka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.

SME Bank FundFest 2024 diadakan pada 17 hingga 18 Oktober bermula 10 pagi hingga 10 malam di Avenue K di ibu negara.

-- BERNAMA