BERITA TERKINI   Kekangan logistik, keperluan latihan faktor utama PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak - SPR | PRN Johor: Seramai 2,727,926 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan: Seramai 889,490 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos, penamaan 18 Julai - SPR | 216 penggiat industri kreatif terima sumbangan berjumlah RM164,256 menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS sejak 2023 - Teo | 

NFOF Di Bawah Khazanah Akan Beroperasi November 2024 Dengan Dana RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- National Funds-of-Funds (NFOF) yang ditubuhkan di bawah Khazanah Nasional Bhd akan beroperasi pada November 2024 dengan dana berjumlah RM1 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat pemula niaga dengan peruntukan RM300 juta bagi 2025.

"Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di bawah Dana Perintis menyediakan RM1 billion untuk turut menyokong aktiviti syarikat pemula niaga tempatan dengan RM200 juta, khusus untuk 2025," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata Cradle Fund diperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membantu syarikat pemula niaga beroperasi dan berkembang ke peringkat serantau serta global.

Peruntukan itu termasuk RM15 juta geran padanan sebagai galakan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bekerjasama dengan syarikat pemula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.

"Bagi memperkukuhkan ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, proses kelulusan aliran dana rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana," kata beliau. 

-- BERNAMA