BERITA TERKINI   iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

e-Invois: Kerajaan Cadang Tuntutan Elaun Modal Perbelanjaan ICT Dipercepat Kepada 2 Tahun

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan tempoh tuntutan sepenuhnya elaun modal bagi perbelanjaan pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pakej perisian komputer serta fi perundingan dipercepatkan kepada dua tahun dari tiga tahun pada masa ini.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini berkata cadangan tersebut bertujuan menggalakkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois sepenuhnya pada 1 Julai, 2025 mengikut garis panduan yang dietapkan.

Menurut MoF, mulai tahun taksiran 2024 hingga tahun taksiran 2025, elaun permulaan untuk pembelian ICT dan pakej perisian komputer serta fi perundingan, pelesenan dan bayaran sampingan berkaitan pembangunan perisian komputer secara khusus akan dilaraskan kepada 20 peratus daripada 40 peratus pada masa ini.

Ia juga mencadangkan mulai tahun taksiran 2024 hingga tahun taksiran 2025, elaun tahunan untuk pembelian ICT dan pakej perisian komputer, serta fi perundingan, pelesenan dan bayaran sampingan berkaitan pembangunan perisian komputer secara khusus akan dilaraskan kepada 40 peratus daripada 20 peratus pada masa ini.

-- BERNAMA